PH di depan 100 kerusi, BN – PN makin terdesak
Berbaki 4 hari sebelum hari membuang undi Pakatan Harapan (PH) terus mendahului sokongan dengan kebanyakan pemerhati politik meramalkan PH akan memperolehi 95 – 100 kerusi.
Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, PN dan BN yang terdesak kini menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengelirukan para pengundi terutamanya orang Melayu.
“PH sekarang berada di tempat pertama dalam negara. Laporan mana pun sekarang letakkan PH di tempat pertama. Yang berbeza jumlah kerusi kita menangi. Ada yang kata 90, ada kata 95. Laporan Merdeka Centre kata 99 kerusi, ada yang kata kita lepasi 100 kerusi.
“Kita ada 5 hari tetapi ada sebab kenapa kita ada di depan. Contohnya apa isu besar sepanjang kempen hampir 7 – 8 hari ini? Isu besar yang dibawa PH ialah soal calon mestilah ada rekod baik, bersih, integriti, tua, muda.
“Sebab itu kita isytihar harta,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Batu Pahat, malam tadi.
Pengarah Pilihanraya KEADILAN itu justeru mempersoalkan sikap BN dan PN yang enggan mengisytiharkan harta sebelum masuk pilihan raya.
Katanya, perisytiharan harta penting bagi memastikan harta waktil rakyat tidak bertambah mendadak selepas mereka mendapat kuasa.
“Di peringkat PN, Pas bila kita isytihar harta apa jawapan dia? Timbalan MB Kelantan kata dia malu tak ada duit. Nak jadi wakil rakyat jangan malu. Adam Adli di Hang Tuah Jaya dia memang tak ada duit pun.
“Kita minta isytihar harta ini supaya yang nak jadi wakil ini tidak curi duit macam dalam Umno, PN atau keluarga Malaysia.
“Biar wakil rakyat lebih hati hati. Presiden Pas Hj Hadi pula kata itu kerja bodoh. Siapa yang bodoh? Ahli politik yang nak sembunyikan (harta) atau yang isytihar macam kami, bodoh. Saya yakin kami lagi cerdik kerana rakyat mahu wakil rakyat dan pimpinan yang bersih.
“Misalnya calon kita Onn Abu Bakar (Batu Pahat) memang miskin, dia tak ada harta. Jadi rakyat boleh tengok. Calon PH sangat berbeza dari Umno BN.
“Ini kalau kita tengok Ketua Pemuda Umno, kelayakan tak ada, sekolah tingkatan 5, bisnes tak ada, cakap tak pandai tetapi kereta 20 biji. Orang tanya macam mana ada kereta 20 biji,” katanya.
Selain itu, Rafizi mempersoalkan sikap Pas yang menggunakan taktik kempen kuno dengan melabelkan DAP komunis dan undi sokong BN atau PH masuk neraka.
“Semasa Pas bersama sama dengan DAP dan PKR lawan Umno BN orang paling banyak peluk DAP, bukan PKR tetapi orang Pas.
“Masa tu tak timbul DAP komunis. Sekarang DAP komunis. Masa MCA, Umno berbaik baik dengan Parti Komunis China tak ada masalah komunis.
“Masa Najib berkawan baik, projek besar negara pergi ke syarikat milik kerajaan China. Masuk pilihan raya, musuh nombor satu DAP komunis.
“Kita cerita pasal gaji, peluang ekonomi PN – Pas cakap pasal komunis. Mereka tambah lagi api orang Melayu undi PH dan BN masuk neraka. Kita bincang nak selesai masalah rakyat, kita akui ekonomi negara dalam bahaya.
“Undi PH masuk neraka ini dia masuk gol sendiri. Saya di Kemaman, Hj Hadi di Marang. Saya membesar zaman Pas keras. Orang Melayu sokong BN boleh jadi kafir. Saya sempat lihat keluarga pecah belah, kalau buat kenduri Umno, Pas tak pergi. Takut makan tak halal. Itu zaman 1980an, kita ingat 2020 tak timbul dah undi parti tertentu masuk neraka,” katanya sinis.
Oleh itu, Rafizi menyeru orang Melayu Johor menolak calon PN – BN secara besar besaran dalam PRU ke 15 ini dan menghadkan parti parti tersebut mendapat beberapa kerusi sahaja agar mereka berubah menjadi lebih baik dalam PRU akan datang.