PETALING JAYA: Rafizi Ramli berkata beliau akan menjadi individu pertama menentang jika wujud pakatan atau rundingan antara Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, timbalan presiden PKR itu menegaskan beliau adalah individu yang akan terus menyerang Zahid dan Umno dalam kempen sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Nombor satu yang saya serang adalah Zahid dan Umno. Malam tadi pun saya seronok dapat perlekeh (serang) Zahid.
“Saya hendak beri jaminan kepada penyokong dan pengundi PH, kalau itu (pakatan Anwar-Zahid) terjadi saya akan menjadi orang pertama tentang kalau betul ada rundingan kerjasama dengan Umno,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR.
Mutakhir ini berlegar khabar angin wujudnya perancangan sulit melibatkan Anwar dan Zahid dalam usaha membentuk kerajaan bersama selepas PRU15.
Mengulas lanjut, calon PKR Parlimen Pandan itu tidak menolak gabungan PH mampu menawan 90 hingga 100 kerusi pada PRU15 berdasarkan momentum ketika ini dan mempunyai hak untuk membentuk kerajaan dengan parti dari Sabah dan Sarawak.
“Jika ikut momentum sekarang, PH akan menjadi blok terbesar dalam kerajaan…mungkin kuasai 90 hingga 100 kerusi.
“Saya tak minat GTA kah, BN kah, PN kah, pilihan nanti adalah dari Sabah dan Sarawak sama ada GRS atau GPS untuk pertimbang apa yang terbaik bagi membentuk kerajaan,” katanya.