Hak mengundi bagi mahasiswa perlu dijamin selepas Perlembagaan
Persekutuan membenarkannya dan Undi 18 dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022.
Bagaimanapun, menurut Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
(PKPIM) dengan harga tiket yang mahal terutama bagi mahasiswa yang terpaksa
pulang menaiki kapal terbang, maka hak mengundi tersebut seolah olah dinafikan.
Sehubungan itu, PKPIM melahirkan kegusaran ramai mahasiswa yang
berkemungkinan tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi kali ini.
"PKPIM menyuarakan kegusaran dan kekecewaan terkait harga
tiket kapal terbang melambung tinggi kebelakangan ini dan tidak munasabah
antara perjalanan Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
"Langkah proaktif perlu digerakkan, termasuklah sumbangan
dari sektor koporat supaya dapat membantu meringankan anak muda pulang mengundi
"PKPIM menggesa diskaun 50% tiket kapal terbang diberikan
kepada para pengundi muda berusia bawah 30 tahun bagi melaksanakan
tanggungjawab kenegaraan mereka memilih pemimpin bagi lima tahun akan
datang," kata kenyataan PKPIM.
Menurut mereka lagi, sekiranya kerajaan tidak mampu memberi
diskaun tiket sehingga 50% maka PKPIM mengesyorkan pihak Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) mempertimbangkan sama ada mahasiswa berkenaan boleh mengundi secara
pos.
"PKPIM mengesyorkan kepada SPR bagi menimbangkan cadangan
pelaksanaan undi pos untuk kemudahan mahasiswa.
"Mekanisma ini diharapkan dapat meningkatkan peratusan keluar
mengundi terutamanya bagi mahasiswa yang tidak punyai kemampuan balik
mengundi," kata mereka.
Mengikut rekod di Sarawak sahaja seramai 129, 034 pengundi (18-20
tahun) dan 416, 645 pengundi (21-19 tahun). Manakala di Sabah mempunyai seramai
127, 582 penundi 18-20 tahun dan 405, 760 (21-29 tahun) di dalam daftar
mengundi.
Oleh itu, kata mereka langkah proaktif perlu digerakkan
termasuklah sumbangan dari sektor gergasi koporat bagi membantu meringankan
anak muda mengundi.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Muhamad Nazmi Ab Rahim, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Izuddin Hasanuddin, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Sabah (PKPIM Sabah) dan Muhammad Luqmanul Hakim Mohamad Suffian, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS).