Kenaikan gaji menjadi isu yang utama dalam kalangan pekerja di
negara ini.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, kenaikan gaji
yang seolah olah 'tepu' sejak dua dekad lalu di Malaysia menyebabkan sektor
pekerjaan profesional tidak menarik bagi generasi muda, menyebabkan mereka
beralih ke pekerjaan gig yang tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi.
"Kita berdepan dengan generasi datang yang semakin tidak
yakin dengan pendidikan.
"Sebab itu krisis gaji rendah ini memerlukan penyelesaian di
luar kotak. Negara tidak lagi boleh membiarkan majikan dan pekerja semata-mata
merundingkan dan menetapkan gaji mengikut kehendak pasaran, kerana sampai
bila-bila ia tidak akan naik dengan kadar yang cepat," katanya dalam satu
kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu menyarankan agar kerajaan
mengambil tanggungjawab menyediakan sistem gaji dan pekerjaan yang lebih
bersesuaian. Di mana, katanya, kadar skil pekerja akan ditambah dan secara
relatifnya gaji juga akan meningkat.
"Soal gaji berkait rapat dengan struktur ekonomi negara,
iaitu tahap nilai tambah yang dihasilkan ekonomi.
"Lebih tinggi nilai tambah, kepakaran yang diperlukan juga
lebih tinggi, maka pekerja juga mendapat gaji yang lebih tinggi bersesuaian
dengan kepakaran.
"Tanggungjawab menganjakkan struktur ekonomi negara ke tahap
nilai tambah yang lebih tinggi ini adalah tanggungjawab kerajaan. Kita bayar
menteri-menteri untuk melaksanakan ini tetapi mereka telah gagal,"
katanya.
Oleh itu kerajaan Pakatan Harapan kelak, kata Rafizi, akan membawa
anjakan paradigma dalam dasar gaji dengan campurtangan kerajaan yang agresif
bagi menaiktaraf ekonomi Malaysia ke arah berpendapatan tinggi.
"Kerajaan akan menetapkan sasaran gaji purata yang perlu
dijadikan dasar utama ekonomi negara
"Kerajaan dalam hal ini perlu menyuntik dana untuk memastikan
pertumbuhan gaji tahunan mengikut sasaran 10 tahun yang ditetapkan,"
katanya.
Kerajaan juga, kata Rafizi akan memberi insentif kewangan dan
percukaian kepada majikan distrukturkan supaya berkait dengan sasaran gaji
purata nasional
"Kenaikan gaji tahunan juga akan berpandu kepada nilai tambah
ekonomi untuk mengukuhkan pendapatan majikan, kemudiannya diagihkan kepada
pekerja secara lebih adil
"Saya mungkin golongan ahli politik yang minoriti yang
bercakap mengenai hal gaji, tapi saya tahu majoriti rakyat di luar sana setuju
dengan saya," katanya.
Justeru Rafizi menasihatkan rakyat agar memilih parti yang
mengutamakan penstrukturan skim gaji dalam Pilihan Raya Umum ke 15 ini.