Tan Sri Annuar Musa mengesahkan
tidak menerima jemputan ke majlis pengumuman calon Barisan Nasional yang
dijadualkan berlangsung malam ini di WTC, Kuala Lumpur.
Penyandang
kerusi Parlimen Ketereh itu berkata tiada surat dihantar kepadanya untuk hadir
majlis malam ini dan akan meneruskan program di kawasan Parlimennya seperti
biasa, ia walaupun spekulasi kuat mengatakan Annuar antara yang disisihkan
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Setakat
ini tidak ada jemputan,” katanya semasa sidang media hari ini.
Bagaimanapun,
Annuar mengesahkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che
Ahmad ada memaklumkannya berhubung surat jemputan yang diterima berhubung
majlis yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Berhubung spekulasi namanya
tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Annuar berkata sedia
menerima sebarang keputusan yang dibuat parti dan mengambil pendekatan tunggu
dan lihat terlebih dahulu.
“Saya
fikir biar benda itu terjadi dulu baru kita fikir… kalau fikir rancang
awal-awal itu orang kata nak nak mendahului qada dan qadar itu tak payahlah.
“Cuma
pesan saya begini jangan-jangan panik-panik jangan menggelabah seolah-olah jadi
calon itu segala-galanyalah dalam hidup,” katanya lagi.
Namun,
Annuar tidak menyifatkan sekiranya tidak tercalon pada PRU-15 kali ini, ia
bukan pengakhiran kepadanya selepas ini.
“Kalau
parti tidak pilih kita, itu bukanlah segala bukan the end of the thing (bukan
pengakhiran).
“Tapi
itu juga tidak menyekat kita kalau kita nak juga bertanding. Kita boleh juga
bertanding, kita beli borang, bayar deposit, semua orang pun boleh bertanding.
Orang tak ada parti pun boleh bertanding,” ujarnya.
Terdahulu,
bekas Setiausaha Agung UMNO itu dalam kenyataan di Facebook beliau semalam
mendakwa, bakal calon Barisan Nasional sudah dibawa menandatangani dokumen dan
aku janji tertentu sejak dua hari lalu sekali gus menimbulkan pelbagai khabar
angin.
Penyandang
kerusi Parlimen Ketereh itu turut membayangkan beliau tidak termasuk dalam
kalangan bakal calon yang dibawa membuat ikrar tersebut.
“Nampaknya,
walau perlembagaan (UMNO) menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan
calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan.
“Dijanjikan juga top five diberi kuasa merundingkan (calon) bagi pihak majlis kerja tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top five mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh high up (pihak atasan). Proses sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan itu.