Warga polis, tentara terbuka zahir sokongan kepada Nik Nazmi
Parlimen Setiawangsa merupakan kubu kebal BN kerana terdapat undi anggota tentera dan polis antara terbanyak di Malaysia sehinggalah Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berjaya menembusinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
Bagi PRU kali ini, Nik Nazmi tidak memandang ringan cabaran mengekalkan kerusi berkenaan dengan penambahan lebih kurang 20,000 pengundi baharu.
Beliau berharap hubungan baik yang dibinanya, terutama terhadap kalangan anggota pasukan beruniform di kawasan itu akan memberi kelebihan untuk mempertahankan kerusi tersebut.
“Sekarang respons sangat positif termasuk dari warga tentera dan polis, mereka lebih terbuka. Malah ada yang datang secara beruniform dan menyatakan mereka harap saya kekal.
“Bagi saya ia tidak menjadi masalah sangat. Cuma kita selalu bangkitkan isu mereka. Kena enggange dengan mereka supaya mereka tahu kehadiran kita di sini,” katanya ketika ditemui dalam majlis makan malam mengumpul dana pilihan raya parlimen Setiawangsa, malam tadi.
Menurut Nik Nazmi lagi, beliau mempunyai rekod sebagai ahli politik tidak dikenali pada kali pertama bertanding di DUN Seri Setia namun mampu menang. Di Setiawangsa pula, beliau telah melakukan kerja kerja politik 3 tahun sebelum PRU 14 dan tidak terlalu bergantung kepada tsunami politik pada ketika itu.
Mengulas mengenai pengudi muda yang agak banyak pada kali ini, terutama Undi 18, Nik Nazmi berkata beliau telah melakukan banyak aktiviti bersama generasi muda dan akan melakukan lebih banyak lagi menjelang hari mengundi.
“Kita akan buat macam macam daripada main basketball, main bola, turun padang semua kita akan buat.
“Bermakna kita kena kreatif. Ceramah salah satu, bukan semua akan hadir ceramah. Atas pagar tak akan hadir ceramah, anggota beruniform bukan semua berani ke ceramah. Kita akan pelbagaikan pendekatan untuk sampaikan seramai mungkin di Setiawangsa,” katanya.
Isu yang akan terus diberi tumpuan pada PRU kali ini bagi Setiawangsa, kata Nik Nazmi akan berkisar soal gaji, peluang pekerjaan dan kekurangan nutrisi kanak kanak dalam kelompok B40 di kawasan itu.
“Saya akan terus memperjuangkan isu soal pekerjaan dan gaji. Saya rasa dalam kawasan bandar ini soal gaji RM3,000 pun pendapatan menekan bagi rakyat. Kalau seorang yang bekerja nak sara keluarga di Kuala Lumpur berat.
“Sebab itu bagi saya kita kena fokus soal gaji, bagaimana kerajaan naikkan gaji secara beransur ansur. Pekerjaan juga, banyak anak muda belajar bagus tetapi kerja grab, itu bukan satu benda yang patut kita banggakan.
“Seterusnya isu kemiskinan bandar, bagaimana untuk menangani soal kurang nutrisi, itu yang ketara. Juga pengurusan DBKL. Sekarang penduduk rasa terputus dengan DBKL. Di bawah ramai pegawai DBKL bekerja kuat, positif tetapi dari segi penggubalan dasar, senggaraan kemudahan, soal pembangunan saya rasa rakyat sangat terpisah dengan DBKL,” katanya lagi.