PRU15: Bilik Gerakan BN Arau ditutup, kali pertama dalam sejarah - Shahidan Faris Danial Razi




Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dalam kehangatan jentera pilihan raya semua parti membuat persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau ditutup, pada Isnin malam.
Perkara itu didedahkan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menyatakan rasa amat sedih menerusi perkongsian di Facebook rasminya.
Katanya, bilik gerakan itu ditutup buat pertama kali dalam sejarah.
“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.
“Kali pertama dalam sejarah,” ucapnya ringkas.
Astro AWANI masih cuba mendapatkan penjelasan lanjut beliau berhubung perkongsiannya di Facebook itu.
BACA: PRU15: Kedudukan Shahidan, Zahidi diketahui hari ini atau esok
Terdahulu, desas-desus mengatakan namanya mungkin akan digugurkan sebagai calon Parlimen berkenaan pada PRU15.
Shahidan yang sudah lebih 30 tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Malah, setiap kali PRU sejak 1986, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Shahidan tidak pernah tewas termasuk ketika berdepan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Haron Din dan Datuk Hashim Jasin iaitu pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).