MENANTI MELETUSNYA ‘PERANG BESAR’ DALAM UMNO

 

Malam ini akan berlangsung majlis pengumuman calon-calon BN bagi menghadapi PRU15 pada 19 November depan.

Majlis yang akan berlangsung di WTCKL, jam 8.30 malam ini adalah serentak dengan majlis pengumuman calon-calon PN yang turut diadakan di Mitec, Jalan Duta.

Meskipun dua acara bakal berlangsung serentak malam ini, tetapi gelora dan ribut nampaknya lebih dulu mengombak di pantai UMNO berikutan ramai calon yang bertaraf menteri dan timbalan menteri diberitakan akan digugurkan.

Sehingga ini, dua menteri iaitu Shahidan Kassim dan Annuar Musa, melalui hantaran di media sosial masing-masing dengan jelas membayangkan mereka telah kena “pancung” dan tidak lagi dicalonkan.

Malah, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan mengumumkan penutupan bilik gerakan BN di Arau dengan serta-merta dan semua bendera diturunkan sebagai tanda yang beliau gambarkan “kesedihan yang amat sangat” terhadap diri dan penyokongnya.


Annuar pula mempertikaikan cara pemilihan calon kali ini dengan peranan Top 5 UMNO seolah-olah diketepikan dan bakal calon telah dipanggil oleh pimpinan atasan untuk menandatangani dokumen dan akujanji tertentu sejak dua hari lalu.

Gambarannya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tidak dipanggil sama sekali untuk menandatangani dokumen serta akujanji berkenaan.

Di media sosial dan berdasarkan cakap-cakap dalam UMNO sendiri, didapati sekurang-kurangnya ada lapan pemimpin lain turut disebut bakal tercicir dalam pengumuman malam ini.

Mereka ialah Noh Omar (Tanjung Karang), Dr Adham Baba (Tenggara), Halimah Saddique (Kota Tinggi) Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Salim Sharif (Jempol), Ismail Abdul Mutalib (Maran) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar.

Begitu pun, melihat kenyataan Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebelum ini yang menyebut BN akan menampilkan 70 peratus muka baru pada PRU15 kali ini, ia dengan sendirinya bermakna lebih ramai lagi wakil rakyat sedia ada akan digugurkan.

Dan melihat kepada nama-nama yang telah dan bakal “dipancung” itu, ramai yang menjangka “perang besar” akan berlaku dalam UMNO selepas ini.

Kata mereka, kalau Shahidan boleh menutup bilik gerakan sebagai tanda protes, takkan Annuar, Noh, Tajuddin dan yang lain-lain hanya berdiam diri saja bila “kena sembelih” dengan Presiden UMNO?

Menjadi percakapan yang meluas juga kononnya rombakan besar-besaran dalam pemilihan calon kali ini ialah untuk memastikan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN mempunyai lebih cengkaman terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang menang nanti agar sentiasa akur dan mendengar cakapnya.

Ramai yang menafsirkan ia bukan saja agar sususan kabinet selepas ini memihak kepadanya, malah dikatakan tidak mustahil sebagai sebahagian perancangan untuk mengambil alih kerusi Perdana Menteri.

Cuma soalnya, jika banyak protes berlaku dan mereka yang digugurkan itu bertindak melakukan sabotaj, bagaimana BN mahu memenangi PRU15 akan datang dan seterusnya untuk membolehkan Zahid Hamidi berjaya dalam perancangannya itu?

Apa yang berlaku dalam UMNO bermula esok iaitu selepas calon-calon diumumkan dan mereka yang digugurkan sudah diketahui, adalah sesuatu yang menarik untuk ditunggu serta diperhatikan sehinggalah hari pengundian pada 19 November nanti.

Apakah akan berlaku “perang besar” dalam UMNO, wujudkah sabotaj besar-besaran, bagaimana jika mereka yang digugurkan itu bertanding Bebas dan mampukah Zahid Hamidi menangani krisis tersebut, seterusnya memastikan BN muncul sebagai parti yang dominan untuk membentuk sebuah kerajaan yang makmur dan stabil dalam keadaan UMNO sendiri tidak stabil disebabkan ramai yang digugurkan itu?Atau semua ini suatu petunjuk bahawa BN bakal kalah sekali lagi? – ShahbudinHusin 01/11/2022.