TAKAT WAN SAIFUL HANGPA KATA HEBAT SANGAT- GAGAL BUAT KERJA DALAM KERAJAAN DULU.SOH JAGA PTPTN DIA BUAT APA?

 

Saingan ‘sengit’ jika Wan Saiful pilih bertanding di Lembah Pantai, kata penganalisis


Saingan bagi Wan Saiful Wan Jan jika bertanding di Lembah Pantai
 dikatakan akan menjadi agak sengit kerana Ahli Parlimen semasanya,
 Fahmi Fadzil, lebih dikenali di kawasan itu.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, saingan akan menjadi “sengit” sekiranya Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan memilih untuk bertanding di Lembah Pantai pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Kartini Aboo Talib daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, jika Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil ingin mempertahankan kerusinya, beliau dilihat sebagai calon pembangkang yang berkaliber.

“Wan Saiful ahli politik yang sangat berbakat dan aktif sebagai aktivis sosial membantu kanak-kanak kurang upaya (autisme). Beliau juga anak jati Kedah,” katanya kepada FMT.

“Beliau pernah memimpin Ideas, badan pengkaji dasar dan dikenali atas platform ini bagi masyarakat bandar. (Namun) untuk beliau bertanding di Lembah Pantai, saingan agak hebat kerana Fahmi Fadzil lebih dikenali di kawasan ini.”

Selasa lepas, FMT melaporkan ketua bahagian Bersatu di Lembah Pantai dan Jerlun mahu mencalonkan Wan Saiful di dua kawasan itu, walaupun sebelum ini beliau dikatakan akan bertanding di Kubang Pasu. Menurut sumber, Wan Saiful mempunyai peluang cerah untuk bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU15.

Kartini berkata, di Jerlun, Wan Saiful berkemungkinan berdepan Mukhriz Mahathir, justeru akan menghadapi laluan sukar kerana keluarga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sangat dihormati oleh warga Kedah, terutamanya masyarakat Melayu luar bandar.

“Antara dua kerusi ini, saya kira Wan Saiful boleh memilih Lembah Pantai berbanding Jerlun (kerana mempunyai) peluang yang lebih cerah dalam kalangan komuniti bandar,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat jika Wan Saiful atau mana-mana pemimpin parti politik bertanding di kawasan parti gergasi, agak tipis peluangnya untuk menang.

Hal ini kerana, katanya, mana-mana dominasi parti politik gergasi seperti Umno, DAP, PAS atau PKR telah kembali menguasai arena politik negara.

“Seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor. Ini membuktikan masyarakat tidak berminat dengan isu-isu politik dan jumlah pengundi yang turun amat rendah, maka parti gergasi seperti Umno, DAP, PKR, PAS kemungkinan akan terus memenangi PRU15 jika diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, pemimpin parti atau calon bukan dari parti politik gergasi harus bijak mendorong masyarakat keluar mengundi.

“Di situ kemungkinan wujud peluang tumbangkan calon parti gergasi dalam negara dan membentuk jajaran politik lebih demokratik,” katanya.

Sementara itu, Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat Wan Saiful akan tewas jika bertanding di Jerlun atau Lembah Pantai.

“Ini bukan soal hendak tukar parti, tetapi soal kesetiaan (merujuk kepada tindakan Bersatu keluar Pakatan Harapan dan sertai Perikatan Nasional),” katanya.

No comments: