RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN - SAIFUL NANG SIRI 2


Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela.

.

Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima kemajuan".

.

Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah sarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang wajib bagi sebuah kerajaan.

.

Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau. Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik dan kangkung? Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama.

.

Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi negeri termaju.

.

Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.

.

Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan....secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta pun akan tahu PM yang datang.

.

Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat. Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan bekerja.

.

Bertimbang taralah...

.

Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim juga.

.

Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan sesuap makanan Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri setahun boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg tangan Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu bernilai lebih dari pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen.

.

Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada tahun 2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat dirasai bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan negara. Saya bukan mengeluh untuk diri saya, Alhamdulillah saya orang susah dahulu yang kini sudah senang. Minyak naik banyak kalipun insyaAllah saya masih mampu tetapi saya cuba mendengar dan memahami marhaen lainnya yang masih mengira syiling dalam saku untuk beli barang dapur.

.

Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU.

.

.

SAIFUL NANG

Orang Marhaen

.

//nota tambah : Datuk Seri kalau baca, saya nak ingatkan haritu ada minta nak jumpa Datuk Seri tanpa pelobi-pelobi projek seperti semasa kita berjumpa di Jibby & Co dulu. Saya bersama sekumpulan marhaen yang sudah buktikan kebahagian dan kemakmuran negara tidak bermodalkan duit sangat. Datuk Seri boleh menang majoriti 2/3 pun kalau cepat tahu caranya. Tapi tu lah...kami ni Marhaen kan, lama dah minta jumpa tak dapat-dapat juga. Saya pun tak suka jadi keyboard warrior berdegar-degar di laman sosial jika dapat berdepan dan berhadap.

.

///saya bukan orang politik. Saya bukan benci Datuk Seri, bukan juga benci kerajaan dan tidak juga penyokong Anwar Ibrahim jauh sekali bernadikan PERKASA...tetapi saya menulis sebagai MARHAEN MALAYSIA.