BN LEBIH MUDAH MENANG JIKA PRU15 DIADAKAN SELEPAS KES MAHKAMAH ZAHID HAMIDI DIPUTUSKAN

 

Setelah semalam masih tiada ketentuan bila Parlimen akan dibubarkan, ini menjadikan tarikh PRU15 bakal diadakan kekal sebagai misteri yang belum ada jawapan.

Mengikut laporan media, isu pembubaran Parlimen tidak dibangkitkan dalam majlis menghadap kepada Yang Dipertuan Agong oleh Perdana Menteri petang semalam.

Begitu pun, pelbagai khabar angin terus berlegar mengenai bila Parlimen akan dibubarkan berikutan Ismail Sabri Yaakob terus mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Top 5 UMNO sebaik selesai menghadap Agong itu.

Ia memberi gambaran seolah-olah ada perbincangan lanjut dengan Perdana Menteri mengenai bila selepas ini Parlimen seharusnya dicadang untuk dibubarkan.

Maklumat daripada UMNO menyebut, keinginan parti itu cuma satu – PRU15 mesti diadakan tahun ini dan bukan tahun depan.

Bila tarikhnya mungkin selepas Belanjawan 2023 dibentangkan, selepas ia diluluskan atau sebelum tiba musim tengkujuh sepenuhnya pada Disember nanti.

Dalam hal ini, diberitakan isu pembubaran Parlimen akan dipersembahkan oleh Ismail Sabri kepada Agong dalam majlis menghadap yang lain selepas ini.

Namun, bilakah sebenarnya masa yang paling sesuai untuk Ismail Sabri harus membubarkan Parlimen bagi menjamin momentum kemenangan lebih memihak kepada BN?

Sekarang ini, setelah Najib Razak dipenjarakan, isu lain yang masih mengotorkan nama UMNO ialah berikutan Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri masih ada kes mahkamah yang belum selesai.

Meski sudah dibebaskan daripada 40 pertuduhan berkaitan kes rasuah projek visa luar negara dan kini kes tersebut sedang dirayu, beliau masih dalam proses membela diri daripada 47 pertuduhan pecah amanah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, mana-mana pemimpin UMNO yang dituduh di mahkamah, mereka dikehendaki melepaskan jawatannya agar nama baik UMNO tidak terpalit sekali dengan jenayah yang sedang dibicarakan itu.

Tetapi di era Zahid Hamidi memegang jawatan Presiden UMNO, perkara itu tidak diguna pakai lagi dan sebab itu bila beliau pergi ke mahkamah untuk dibicarakan, ia seolah-olah UMNO sendiri sedang dibicarakan.

Lantaran itu, selagi beliau dibicarakan dan kesnya belum selesai, malah sudah tentu Zahid Hamidi akan terus diberikan watikah sebagai calon oleh Presiden UMNO jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat ini, mahu tidak mahu, ramai sebetulnya yang jadi sangsi untuk mengundi BN.

Ini kerana mengundi BN dalam keadaan Zahid Hamidi yang ada kes mahkamah dan sedang dibicarakan itu tetapi terus juga bertanding, ia seperti menolong dan membantu beliau untuk membersihkan dirinya melalui proses selain daripada mahkamah.

Dengan itu, mengadakan PRU15 ketika kes Zahid Hamidi belum selesai belum benar-benar menjamin BN mampu meraih kemenangan.

Kemenangan hanya lebih selesa untuk dicapai oleh BN jika selepas kes beliau diputuskan oleh mahkamah.

Ketika itu, sekiranya Zahid Hamidi didapati bersalah, beliau bukan saja terlarang untuk bertanding, bahkan UMNO boleh mendabik dada mempertahankan proses keadilan, meski dalam kedaaan Perdana Menteri sendiri adalah daripada UMNO.

Seterusnya, apabila PRU diadakan, UMNO tidak terpalit lagi dengan sebarang kekotoran.

Jika Zahid Hamidi tidak bertanding, pihak pembangkang pun dengan sendirinya akan hilang sebahagian modal kempen mereka.

Kiranya Zahid Hamidi dibebaskan pula, maka ia akan melonjakkan nama UMNO sebagai pilihan yang sudah dibersihkan dan tidak lagi terpalit dengan kekotoran.

Rakyat pun tiada lagi keraguan untuk memberi sokongan dan mengundi BN.

Proses membela diri Zahid Hamidi akan berakhir tidak berapa lama lagi dan dijangka keputusan kesnya akan diketahui sebelum pertengahan Disember ini.

Jadi, tarikh paling sesuai, paling wajar dan paling tepat untuk Ismail Sabri memohon pembubaran Parlimen ialah selepes keputusan mahkamah itu. – ShahbudinHusin 07/09/2022.



No comments: