Pelajar cemerlang tolak tawaran ke MRSM demi jaga ibu bapa sakit.
PETALING JAYA: Seorang pelajar cemerlang Tingkatan Tiga menolak tawaran belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) demi menjaga ibu bapanya yang sakit serta adik-beradiknya.
Kisah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sik, Nurfatin Hanis Abdullah, 15, itu mendapat perhatian penaung Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Daud Bakar yang berkongsi pengalamannya melawat remaja itu di Sik, Kedah pada Ahad lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Daud diberitahu, meskipun hidup dalam kedaifan, ditambah pula tanggungjawab menguruskan ibu bapa dan adik-beradik, remaja itu masih mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran.
“Pihak sekolah menceritakan kehidupan Fatin. Dia menghantar adik-adiknya pada awal pagi ke sekolah. Kemudian ambil pulang waktu tengah hari.
“Kadang-kadang Fatin tidak dapat hadir ke sekolah kerana hantar ayahnya membuat rawatan fisioterapi. Apa-apa pun, Fatin tetap cemerlang dalam pendidikan. Ibunya juga tidak sihat,” katanya menerusi catatan Facebooknya.
“Seorang pelajar yang cemerlang, tapi miskin. Pihak sekolah menyediakan makanan di kantin secara percuma kepadanya. Saya juga sempat tengok buku catatan kos makanan Fatin di kantin antara RM2.50 ke RM4.80 setiap hari.
Daud melabelkan remaja itu hero hebat kerana mampu berbakti kepada ibu bapa walaupun masih di bangku sekolah.
“Kelopak mata saya terasa berat. Air mata halus mula menolak keluar. Saya datang ke sebuah rumah yang berlubang-lubang, tapi berjumpa seorang hero hebat. ‘Unsung’ hero.”
Tokoh kewangan Islam itu mengambil pelajar tersebut sebagai anak angkat pertama KDA FC dan akan menanggung perbelanjaannya sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).