Jika saya tinggal di
London, New York atau paling terukpun di Guangzhao, Melbourne, Singapura jika
minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan untuk saya sampai dari
sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam
masa kurang 1 jam sekalipun semasa penyuraian waktu puncak. Apa nak risau jika
Tuan Mayor Kota London juga naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan
pelanggan di mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak,
guna sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh London.
Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala
Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH
(jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu memang murah). Ya betul,
mereka bayar cukai lebih tinggi tetapi mereka beri semula kepada rakyat.
.
Hari ini kita dipaksa
untuk telan kenaikan harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam
yang sangat parah. Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau
awal dari masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong
bas di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta. Tak
perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada
juga sudah lebih baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada
50 lorong pun masih tetap tak cukup. Ini akan berbalik kepada soal mana dahulu.
Pemimpin kata rakyat kena dicukai dan dimansuh subsidi supaya kerajaan mampu
bina prasarana pengangkutan awam. Orang awam pula nampak kerajaan bina dahulu
dengan modal sedia ada barulah boleh dinaikkan sumbangan rakyat kepada
kerajaan. Namun, sejauh mana rela rakyat jika pembaziran berlaku di hadapan
mata.
.
Tindakan pentingkan
diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya
jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri dalam menjaga kepentingan
Proton.
.
Malaysia sudah
diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke
tangan anak yang lahir atas dulang emas yang tidak pernah merasai kesusahan
rakyat secara realistik dan peribadi. Saya tersinggung semasa pertemuan bersama
beliau dalam satu perbincangan "tehtarik" di Jibby & Co Subang
awal tahun ini, beliau berseloroh tentang isu air dan saya lihat ia tidak
kelakar langsung. Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya bercatu dengan
asbab beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun nak bercatu,
beliau boleh berseloroh "Saya boleh mandi...rumah saya ada air" (lalu
ketawa).
.
Saya tahu ini pedas
untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum.
Email cadangan berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis
oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat
ini seperti air. Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika
limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun.
.
Petronas diajar untuk
mengatakan rezab minyak kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa
jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh
bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi.
Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan
tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis
pada 2030-an?
.
Masalah bila orang
senang mentadbir, semuanya mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai
gula-gula yang tidak mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai
ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.
.
Turunlah Datuk Seri,
Turunlah....
.
Bukan turun meletak
jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin
susah untuk Datuk Seri tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan
dan perlu berulang alik dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan
kadar faedah bank konvensional dan "Islamik" tapi menjerut leher. Isi
minyak sendiri dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal
nasi yang dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami
dengan sebenar-benarnya.
.
Secara praktikal, itu
mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan
dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang
kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika
rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial.
.
Untuk pengetahuan
Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk
Seri akan jadikan tempat sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam
hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan
tinggallah semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga
membuat kenyataan "SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".
.
Apabila minyak naik
harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga
barang tidak akan naik. Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik.
Penguatkuasaan kementeriaan hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak
nakalnya yang panjat-panjat rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran
"Haiiippppp....babab kangg" dan kemudian sambung bersembang semula.
.
Dulu semasa saya
kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun
kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van
Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda.
Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan
kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini.
Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi,
kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini
tanpa perlu mereka menjadi pemberita.