Rafizi senarai ‘geng’ tolak khemah besar rebut jawatan MPP PKR



Rafizi Ramli berkata ahli PKR wajar memilih calon yang secara jelas menolak idea khemah besar.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli menggesa ahli PKR memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi melengkapkan barisan kepimpinan untuk sesi 2022-2025 dalam kalangan mereka yang menolak idea khemah besar.

Bakal timbalan presiden PKR itu turut menyenaraikan barisan calon MPP yang menolak idea berkenaan dan mahukan parti membina kekuatan sendiri termasuk bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Pengundian untuk memilih 20 orang MPP untuk melengkapkan barisan pimpinan PKR 2022-2025 akan berlangsung hujung minggu ini.

“Kita wajar memilih calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatan sendiri. Undilah calon yang konsisten menolak khemah besar,” katanya di Facebook.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Beliau turut menyeru ahli memilih calon mempunyai kepakaran yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti.

“Kita wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambahbaik parti.

“Pilih calon yang tidak pernah terpalit dengan episod yang membawa masalah kepada parti. Elakkan mengundi calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang mengkhianati parti, atau kumpulan yang membawa budaya bodek/samseng yang ditolak anggota parti baru-baru ini,” katanya.

Calon disenaraikan Rafizi ialah Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, aktivis mahasiswa Fahmi Zainol, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina @ Nor Azrina Surip, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam.

Ahli Parlimen Hulu Selangor June Low Hsiad Hui, ADUN Bakar Arang Simon Ooi Tze Min, ADUN Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan ADUN Semambu Lee Chean Chung.

Turut disenarai kumpulan pro-Rafizi bagi merebut jawatan MPP ialah pelakon Hans Isaac, Romli Ishak, Tan Kar Hing, M Anbarasan, Halim Bachik, Abdul Halim Hussain, Zahir Hassan, Che Zam Hamzah, Zinda Khalil Sastro Hassan, Zaidi Ahmad, Gopalakrishnan Subramaniam, Mohd Amin Abdul Mem, Raiyan Abdul Rahim dan Rusnah Aluai.

Rafizi bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas kumpulan dalam PKR yang mahukan khemah besar.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan parti itu tidak pernah membincangkan soal khemah besar.

No comments: