BN Perlis sedia bergerak solo tanpa PAS


Azlan Man berkata, tiada kerjasama politik antara BN dan PAS ketika ini. (Gambar Bernama)

KANGAR: Umno dan Barisan Nasional (BN) Perlis sedia bergerak solo tanpa melibatkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak ingin meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi BN Perlis, Azlan Man berkata, Umno negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS dan apa yang dilakukan sebelum ini dibuat secara bersendirian.

“Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan PAS pada masa ini,” katanya yang juga ketua Umno negeri kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata, isyarat ditunjukkan oleh pemimpin PAS yang dilihat tidak konsisten, sama ada mahu meneruskan atau menamatkan kerjasama MN dengan meletakkan kesalahan kepada Umno menerusi kenyataan negatif sebelum ini.

“Kenyataan sebegini tidak memberikan semangat untuk kita menghidupkan kembali MN. Namun ia tertakluk kepada keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi Umno nanti,” katanya selain menambah bahawa bagi meneruskan MN, terpulang kepada PAS untuk membuat pilihan dan Umno juga mempunyai pilihan sendiri.


No comments: