HALAU BALIK LA NEGERI SENDIRI.

 

Lelaki Myanmar ditahan, cubaan culik budak 4 tahun gagal - Polis


Mohd Zalani Md Atan
Lelaki Myanmar ditahan, cubaan culik budak 4 tahun gagal - Polis
Polis berkata, suspek yang mungkin mempunyai masalah mental mengaku menculik mangsa kerana menyayangi kanak-kanak itu. - Foto ihsan orang awam
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berdepan detik cemas apabila cuba dilarikan lelaki warga Myanmar ketika sedang bermain pasir di hadapan rumahnya, pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai kejadian itu jam 9.45 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.
Wan Mohd Zahari berkata, suspek berusia 30 tahun yang tiada pekerjaan tetap itu ditahan orang awam dan bapa mangsa di tepi jalan sebelum diserahkan kepada polis.
Kejadian berlaku berdekatan Pusat Dagangan Batu 3, di Batu Tiga, Jalan Gambang, di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek tersebut terlibat dalam cubaan untuk melarikan seorang kanak-kanak Melayu dari rumah berhampiran.
“Suspek telah dikejar oleh ayah mangsa dan seterusnya berjaya ditahan dengan bantuan orang awam berdekatan dengan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan pegawai penyiasat kes hari ini.
"Kita turut merampas sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 di atas cubaan melarikan orang dan Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri," ujarnya.
Berdasarkan laporan, Wan Zahari menjelaskan bapa mangsa yang merupakan seorang penjual ketam nipah telah membuat laporan polis berkaitan kejadian.
“Hasil laporan itu, bapa mangsa memaklumkan ketika kejadian, dia terdengar bunyi jeritan isterinya mengatakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dilarikan lelaki tidak dikenali.
“Bapa mangsa bertindak mengejar suspek dan dengan bantuan orang ramai, suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula,” katanya.
Wan Zahari juga berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek kurang fasih berbahasa Melayu.
“Suspek yang datang ke negara ini sejak tiga bulan lalu tidak mempunyai tempat tinggal dan hanya menumpang di sekitar Jeti Bot Nelayan Batu 3," katanya.
Suspek dikatakan bekerja membantu kerja-kerja nelayan di situ bagi mendapatkan upah.
"Suspek yang pernah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun mengaku menculik mangsa kerana menyayanginya," katanya, yang tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah gangguan mental dan emosi.
Sehubungan itu, Wan Zahari menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

No comments: