PAU 2021 | Umno dijangka akan
meluluskan usul bagi menggesa supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disegerakan.
Parti itu juga diyakini akan menyokong ususl
pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan selepas sesebuah
PRU dijalankan.
Menurut salah seorang pemimpin tertinggi
Umno, dua usul itu adalah antara cadangan utama akan dibentangkan pada hari
akhir persidangan bagi mendapatkan sokongan daripada lebih 5,000 perwakilan.
"Usul utama yang akan dibawa pada
persidangan esok adalah bagi menggesa PRU ke-15 dipercepatkan, serta usul
pemilihan parti ditangguhkan selepas PRU diadakan bagi mengelak perpecahan
dalaman parti.
"Dua usul utama ini dijangka akan
mendapat sokongan majoriti perwakilan Umno dan menjadi hala tuju kepada
persiapan menghadapi PRU ke-15," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi
Dusuki berkata pindaan tersebut penting kepada parti terbabit bagi memastikan
perpaduan ahli tidak dirosakkan oleh kesan pemilihan.
"Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha
memaksa pemilihan parti disegerakan.
“Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya,
berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti?
Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur.
"Dengan masa yang pendek, apakah kita
mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk
menghadapi peperangan?" katanya.
Cadangan senada turut disuarakan Ketua
Puteri Umno Zahida Zarik Khan dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung
Pergerakan Puteri Umno 2021.