PERDANA MENTERI LAWAN PRESIDEN UMNO


Pertentangan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah krisis terbesar sekarang ini.

Jika Ismail Sabri tegas dan tidak tunduk desakan Zahid Hamidi supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera, maka Ismail Sabri akan muncul sebagai wira.

Ismail Sabri seorang peguam.Dia tahu Presiden Umno tidak ada locus standi untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.

Presiden Umno Zahid Hamidi boleh menjerit sekuat suaranya di dalam Dewan Perhimpunan Agung Umno supaya Parlimen dibubarkan tetapi itu tidak ada kesan undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dinasihatkan untuk membubarkan Parlimen sekiranya keputusan itu hasil mesyuarat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri atau kabinet.

Tentu sekali bukan keputusan Perhimpunan Agung Umno atau keputusan Lima orang pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

Hal ini dapat dilihat esok, Sabtu 19 haribulan Mac.

Adakah Ismail Sabri sebagai Naib Presiden Umno akan diberi peluang menyampaikan ucapan penggulungan?

Kalau peluang diberikan kepadanya untuk berucap, maka kita lihatlah nanti adakah Ismail Sabri mempunyai tulang belakang sekeras besi waja untuk muncul sebagai seorang Perdana Menteri yang ada intergiti atau beliau hanya pemimpin biasa-biasa sahaja kelas tiga.

Setakat ini, sejauh yang kita ketahui, imej Ismail Sabri Yaakob bersih. Bukan perasuah, dan bukan seorang pemimpin yang

tidak berakhlak mulia.Beliau sentiasa kelihatan tenang dan sabar.

Pendirian Ismail Sabri yang menghormati kebebasan badan kehakiman dalam amalan pengasingan kuasa amat dihormati.Ini antara kekuatannya.

Tetapi jika esok Ismail Sabri tunduk dan mengalah kepada Zahid Hamidi dan kluster mahkamah, maka punahlah masa hadapan satu-satunya pemimpin Umno yang kelihatan bersih dan boleh diterima Rakyat Malaysia.

Jika itu berlaku akan hancurlah Keluarga Malaysia dibaham harimau ganas kluster Mahkamah.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

18 Mac 2022 (Jumaat)