Hari ini penentu PM Ismail perkasa atau ‘dibaham’ kluster mahkamah?
Pertembungan besar antara Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berlaku hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, sekiranya Ismail tegas dan tidak tunduk kepada Presiden Umno maka beliau akan dianggap wira oleh rakyat.
Satu satunya PM yang mendahulukan kepentingan rakyat daripada percaturan politik pemimpin Umno sejak merdeka.
“Ismail Sabri seorang peguam. Dia tahu Presiden Umno tidak ada locus standi untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.
“Presiden Umno, Zahid Hamidi boleh menjerit sekuat suaranya di dalam Dewan Perhimpunan Agung Umno supaya Parlimen dibubarkan tetapi itu tidak ada kesan undang-undang.
“Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dinasihatkan untuk membubarkan Parlimen sekiranya keputusan itu hasil mesyuarat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri
“Tentu sekali bukan keputusan Perhimpunan Agung Umno atau keputusan lima orang pucuk pimpinan tertinggi Umno,” katanya.
Oleh itu, Hassan berharap Ismail yang merupakan Naib Presiden Umno akan diberi peluang menyampaikan ucapan penggulungan petang ini.
“Kalau peluang diberikan kepadanya untuk berucap, maka kita lihatlah nanti adakah Ismail mempunyai tulang belakang sekeras besi waja untuk muncul sebagai seorang Perdana Menteri yang ada intergiti, atau beliau hanya pemimpin biasa-biasa sahaja kelas tiga.
“Pendirian Ismail yang menghormati kebebasan badan kehakiman dalam amalan pengasingan kuasa amat dihormati. Ini adalah antara kekuatannya,” katanya.
Namun, kata Hassan, andainya Ismail tidak mempertahankan pendiriannya sebelum ini yang tidak setuju pembubaran Parlimen berdasarkan desakan pemimpin Umno dari pucuk pimpinan hinggalah ke pemimpin Wanita dan Puteri, maka beliau tentunya dikenang sejarah sebagai PM yang rela ditelan oleh kluster mahkamah.
“Jika esok Ismail tunduk dan mengalah kepada Zahid dan kluster mahkamah, maka punahlah masa hadapan satu-satunya pemimpin Umno yang kelihatan bersih dan boleh diterima rakyat Malaysia.
“Jika itu berlaku, akan hancurlah Keluarga Malaysia yang dibangga banggakan dibaham harimau ganas kluster Mahkamah,” katanya lagi.