Melihat kepada kemelut yang sedang berlaku dalam UMNO sekarang ini, tidak dapat dinafikan bahawa punca utamanya tidak lain adalah kerana Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak memegang jawatan Presiden UMNO.
Lebih buruk lagi kerana Presiden UMNO sedia ada, Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan kes mahkamah dan dilihat mahu menggunakan kedudukannya itu bagi manfaat dirinya.
Jika Presiden UMNO bukan seorang yang terbeban dengan sebarang masalah, beliau sepatutnya boleh dengan senang hati melepaskan jawatan itu atau memberi laluan bagi pemilihan parti didahulukan apabila pemimpin UMNO lain telah dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dengan demikian, laluan akan terbuka dengan sendirinya untuk Perdana Menteri menjadi Presiden UMNO.
Maka, barulah wujud kestabilan serta keharmonian dan membolehkan parti dan kerajaan bergerak seiring.
Begitu seharusnya jika pemimpin itu benar-benarkan sayangkan parti.
Selama ini, tiada masalah yang timbul adalah disebabkan semua Perdana Menteri merupakan Presiden UMNO atau diberi laluan untuk memegang jawatan Presiden UMNO.
Selagi dua jawatan berkenaan dipegang oleh pemimpin yang berbeza, kemelut ini akan terus berpanjangan, malah akan bertambah buruk jika PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO.
Pasti akan wujud pergeseran, perbalahan, malah mungkin “perang” yang lebih dahsyat lagi.
Masalah atau kemelut hanya boleh diatasi jika jawatan Presiden UMNO dipegang oleh pemimpin yang sama yang memegang jawatan Perdana Menteri.
Harus ahli-ahli UMNO fahami bahawa selain desakan kumpulan pro Zahid Hamidi dan Najib Razak untuk mendesak PRU15 diawalkan dan mesti diadakan sebelum pemilihan parti adalah bermotifkan kepentingan peribadi mereka, desakan mereka itu juga langsung tidak merenjiskan sebarang bentuk kestabilan serta keharmonian kepada UMNO.
Selepas PRU15 selesai dengan calon-calon pilihan raya dipilih daripada kalangan yang pro Zahid Hamidi dan Najib, malah mungkin Ismail Sabri akan diketepikan untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri, katalah BN berjaya membentuk kerajaan, apa jadi kepada UMNO selepas itu?
Apakah pemimpin kluster mahkamah yang masih dalam perbicaraan akan diletakkan untuk menjadi Perdana Menteri?
Tidak malukah kita kepada dunia jika itu yang berlaku?
Apakah juga ahli-ahli UMNO mahu pemimpin kluster mahkamah terus memimpin parti?
Sebab itu, sekali lagi ditekankan, tiada formula lain sebenarnya untuk mewujudlan kestabilan kepada UMNO dan negara, melainkan dengan membenarkan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15 dilangsungkan.
Dalam konteks sekarang, ia bukanlah untuk kepentingan diri Ismail Sabri, sebaliknya demi kestabilan UMNO dan negara semata-mata.
Memang benar sebagaimana disebut Zahid Hamidi dalam ucapannya semalam bahawa sebelum ini PRU diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan UMNO untuk mengelakkan adanya perpecahan dalam parti, tetapi harus diingat dalam semua keadaan tersebut itu, pemimpin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu adalah juga memegang jawatan Presiden UMNO.
Namun ketika ini, Presiden UMNO bukan saja tiada jawatan Perdana Menteri, malah ada kes mahkamah pula.
Jadi, sedar-sedarlah diri dan pandanglah cermin selalu.
Hanya dengan pemilihan UMNO didahulukan dan Ismail Sabri dijadikan Presiden UMNO, barulah penyelesaian optimum kepada masalah parti dan negara lebih mungkin ada keberhasilannya.
Lagi pun, tempoh akhir pemilihan UMNO ialah Disember 2022, manakala tempoh akhir penggal Parlimen sekarang adalah Mei 2023.
Dalam hidup ini, malah dalam ibadah pun, banyak perkara menekankan untuk kita bersikap tertib iaitu yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan.
Kenapa dalam hal ini, UMNO susah sangat nak ikut tertib? – ShahbudinHusin 19/03/2022.