Segerakan permohonan undi pos, kata Ahli Parlimen

 

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang dilaksanakan segera. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Permohonan undi pos untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang mesti dilakukan segera, kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Beliau berkata “tiada alasan” mengapa permohonan itu tidak boleh dibuat sekarang.

“Saya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi PRN Johor di luar negara supaya didaftar sebagai pengundi pos segera,” katanya dalam kenyataan.

“Pada PRN Melaka, pengundi di luar negara hanya diberikan masa 13 hari untuk mendaftar. Tidak ada alasan mengapa permohonan undi pos dalam talian tidak boleh dimulakan sekarang untuk PRN Johor.”

Teo berkata ia akan menjadi pilihan raya yang “menarik” dan “memberi harapan” kepada rakyat Johor di negeri itu dan luar negara memandangkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik telah berkuatkuasa.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb untuk menetapkan tarikh hari penamaan dan mengundi, yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

No comments: