Akaun pelanggan dibeku kerana CIMB tersilap kredit, kata BNM



BNM juga mengarahkan CIMB tidak mengenakan beban kewangan tidak
 dijangka kepada pelanggan yang tidak menyedari kesilapan itu.

GEORGE TOWN: Bank Negara Malaysia (BNM) berkata kesilapan dilakukan bank tempatan, baru-baru ini, yang menyebabkan ratusan akaun dibekukan dan pemegangnya berhutang disebabkan oleh “jumlah berlebihan” dikreditkan pihak bank ke dalam akaun pelanggan.

Dalam maklum balas melalui e-mel kepada FMT, bank pusat itu berkata, CIMB Bank Bhd (CIMB) kini cuba mendapatkan semula jumlah lebihan dikreditkan kepada pelanggan mereka itu.

BNM berkata, pihaknya telah meminta CIMB memastikan bahawa apa sahaja langkah ‘pemulihan’ yang diambilnya tidak akan membebankan pelanggan, terutama mereka tidak menyedari lebihan wang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka.

“Siasatan mengenai insiden ini masih berjalan, jika perlu, BNM akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan sewajarnya terhadap CIMB.

“CIMB dikehendaki memastikan proses mendapatkan semula jumlah bukan milik pelanggan, tanpa mengenakan beban kewangan tidak dijangka kepada pelanggan yang tidak menyedari kesilapan berkenaan.

“CIMB akan membincangkan pengaturan pemulihan dengan pelanggan secara individu. Pelanggan yang telah menerima notis daripada bank digesa menghubungi pihka bank dengan segera,” kata BNM.

Baru-baru ini, FMT melaporkan rungutan pelanggan CIMB yang baki akaun mereka bernilai negatif, manakala akaun juga dibekukan.

Pelanggan yang tidak berpuas hati telah membuat laporan kepada polis dan BNM. Ada yang telah mendapatkan nasihat undang-undang untuk memfailkan saman, berdasarkan mesej daripada kumpulan sembang, kira-kira 2,700 pelanggan terjejas.

CIMB berkata, pihaknya telah menemui ‘ralat pemprosesan’ yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

“Kami sedang menghubungi pelanggan ini untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus,” katanya awal minggu ini, sambil menambah bahawa pelanggan terjejas boleh menghubungi talian hotline untuk perbincangan lanjut.

No comments: