‘Lebih banyak rugi daripada untung sertai MUDA’, kata anak perempuan taikun





Dian Lee berkata, beliau mahu membina Malaysia yang lebih progresif, telus dan inklusif. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Anak perempuan kepada taikun hartanah, Lee Kim Yew, menangkis tanggapan pengkritik dengan menggambarkan dirinya “akan mengalami lebih banyak kerugian” selepas menyertai parti baharu, MUDA.

Dalam siri catatannya di Twitter, Dian Lee berkata, dia bagaimanapun memahami pandangan skeptikal berhubung pembabitannya dalam politik, sambil menambah bahawa sikap kritikal terhadapnya dilihat sebagai sihat dan diperlukan demi memastikan kebertanggungjawaban.

Katanya, beliau tidak mampu mengubah siapa bapanya, namun tegas mengatakan dirinya mempunyai pendirian, nilai dan kepercayaan tersendiri.

“Apa yang pasti adalah penyertaan saya dalam parti pembangkang bukan untuk memperkayakan diri. Sebaliknya, saya akan lebih mengalami kerugian daripada untung.

“Hanya dengan masa sahaja saya mampu memperagakan kepada rakyat niat dan sanubari saya untuk membina Malaysia yang lebih progresif, telus dan inklusif demi masa depan kita dan generasi masa depan.”

Lee, 38, juga mengakui wujudnya banyak kekecewaan dengan keadaan yang berlaku di negara ini dengan berkata, rakyat disakiti dan diperdaya oleh ahli politik sejak sekian lama.

Sebelum ini, laporan menyebut langkah beliau menyertai MUDA pada Disember mendapat perhatian warganet, selain menimbulkan kecurigaan berhubung hubungan taikun berkenaan dengan parti terbabit.

Lee adalah pengasas bersama The Clearwater Group yang terbabit dalam aktiviti perniagaan merangkumi pembangunan hartanah, makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan.


No comments: