Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata Pakatan Harapan (PH) cuba menumpang imej muda Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan memberi laluan kepada parti itu.
Katanya, perkara itu secara tidak langung diakui melalui pemberian sembilan kerusi oleh PKR, DAP dan Amanah untuk pilihan raya Johor 12 Mac ini.
“DAP, Amanah dan PKR menumpang imej Muda untuk dilihat muda.
“Sebab itu mereka sanggup serah sembilan kerusi kepada Muda.
“Itu pengakuan iaitu sayap pemuda PH seperti AMK dan Pemuda DAP adalah gagal,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Semalam, DAP dan Amanah memberi laluan kepada Muda di enam kerusi, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
PKR pula menawarkan tiga kerusi – yang tidak dinamakan buat masa ini.
Umno ‘pakai buang’ sentimen Islam
Sementara itu, Naib Presiden DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berpendapat bahawa Umno gagal membawa sentimen Islam ketika mengambil keputusan untuk membentuk kerjasama politik bersama PAS melalui Muafakat Nasional sebelum ini.
“Seperti logik Puad, Umno menumpang imej PAS untuk dilihat Islam. Lebih teruk, Umno seperti ‘pakai buang’ Islam kerana dahulu dengan PAS, sekarang tidak lagi. Begitu?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ketua Pemuda DAP Johor, yang juga calon PH bagi DUN Paloh, kenyataan Puad itu jelas menunjukkan kembimbangannya terhadap kesatuan blok pembangkang, terutamanya selepas penambahan 70,000 pengundi di Johor berusia 18 tahun ke atas dalam PRN kali ini.
“Puad juga bimbang kerana tidak ada apa-apa yang baharu dalam pembawaan Umno. Bahkan, Umno masih tidak ‘move on’ (meneruskan perjalanan) dari muka-muka pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan salahguna kuasa,” katanya.