Undi awal: Agen calon PH DUN Lendu dihalang masuk ke pusat mengundi

 


Pengundian awal hari ini di DUN Lendu dicemari insiden agen calon Pakatan Harapan (PH) dihalang masuk oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) biar pun telah menunjukkan dokumen dikehendaki


Menurut Calon DUN Lendu, Mohamad Asri Ibrahim, tindakan tidak membenarkan agen calon masuk ke tempat mengundi di Balai Polis Alor Gajah itu dan pengundian diteruskan tanpa agen calon merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Saya calon bertanding di Pilihan Raya Negeri Melaka, DUN Lendu membuat laporan polis terhadap Ketua Tempat Mengundi kerana tidak membenarkan Ejen Tempat Mengundi yang mewakili saya masuk bertugas di pusat mengundi awal, di Balai Polis Masjid Tanah bermula jam 8 pagi.


"Sedangkan agen saya telah membawa dokumen mencukupi, iaitu surat lantikan yang ditandatangani oleh agen atau wakil calon, Borang A atau Borang Sumpah Kerahsiaan yang ditandatangani oleh Pengurus Pilihan Raya dan Pas Ejen Tempat Mengundi.


"Walaupun wakil calon datang memberi penjelasan kelayakan ejen tersebut untuk bertugas namun KTM masih enggan membenarkan. Pengundian tetap diteruskan tanpa agen saya. KTM meminta satu lagi dokumen iaitu surat lantikan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang mana surat itu sebenarnya tidak perlu," katanya


Asri menunjukkan laporan polis KTM tidak membenarkan agen calon masuk ke pusat mengundi awal

Asri menunjukkan laporan polis KTM tidak membenarkan agen calon masuk ke pusat mengundi awal


Sehubungan itu, Asri mendakwa beliau telah dikhianati oleh KTM dan mahu pihak polis melakukan penyiasatan segera serta membawa pihak yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan.


"Kita tak mahu SPR jadi alat pihak tertentu untuk mengekalkan kuasa.


"Ini penting untuk SPR ambil sebagai perkara penting kerana proses undi awal ini amat penting kepada pasukan beruniform mempunyai kesedaran, tetapi kalau proses (pengundian) diganggu maka akan terjadi penyelewengan dan sebagainya.


"Saya pun pernah jadi KTM, saya pernah jadi wakil calon. Tolong jangan jadi pekakas dan diperalatkan dengan perkara macam ini. Saya berharap isu ini tidak berlaku pada 20 November nanti," kata Asri lagi.


Dalam pada itu, wakil calon, Rosli Ali yang membuat laporan polis berkenaan insiden terbabit kesal dengan sikap KTM tidak membenarkan agen calon bertugas selepas menunjukkan dokumen yang sah.


"Pada pagi ini kita menghadapi masalah berkenaan petugas kita tidak dibenarkan masuk ke tempat mengundi awal di Balai Polis Masjid Tanah di mana petugas kita mengatakan KTM pegawai SPR tidak membenarkan masuk atas alasan kita tak ada watikah atau kebenaran untuk petugas


"Situasi sama juga berlaku di Depoh Gudang Peluru di Sungai Udang akan tetapi kita telah menyerahkan watikah dan KTM di sana membenarkan PACA kita masuk, tetapi di balas polis ini tidak dibenarkan


"Pagi ini kami membuat laporan polis berkenaan hal tersebut," katanya.


No comments: