(KEMASKINI) PN guna ‘soalan perangkap’ untuk paksa ADUN Amanah sokong henti kedai nombor ekor?

 

Ketua Pembangkang Kedah, Phahrolrazi Zawawi, berkata, ADUN Amanah di Kedah menyokong rancangan kerajaan PN menghentikan operasi kedai nombor ekor disebabkan ‘soalan perangkap’. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Perikatan Nasional didakwa menggunakan ‘soalan perangkap’ untuk menyebabkan ADUN Amanah di Kedah menyokong rancangan kerajaan PN menghentikan operasi kedai nombor ekor di Kedah dalam satu pengundian di Dewan Undangan Negeri semalam.

Ketua Pembangkang Kedah, Phahrolrazi Zawawi, difahamkan para ADUN ditanya adakah mereka setuju atau menyokong judi diharamkan dalam usaha penyokong kerajaan cuba menarik sokongan wakil rakyat kepada rancangan pentadbiran Muhammad Sanusi Md Nor itu.

“Kalau ditanya soalan begitu siapa pun sebagai seorang Islam kena bangun menyokong,” kata Phahrolrazi kepada FMT, sedangkan undang-undang Islam lebih terperinci, tambahnya.

“Kenyataan itu terlalu umum…sebenarnya ia perlu pada suatu penjelasan…apakah judi itu boleh diharamkan untuk semua orang? Tidak boleh. Hanya untuk orang Islam sahaja.”

Phahrolrazi berkata dua ADUN Amanah yang bangun selepas ditanya ‘soalan perangkap’ itu akan diminta untuk memberikan penjelasan.

Semalam, Mohd Azam Abdul Samad (PN-Sungai Limau) memberitahu ADUN beragama Islam bahawa mereka harus menyokong langkah PN itu kerana tuhan memerintahkan mereka mencegah kemungkaran.

“Asasnya untuk dapat pahala adalah dengan melaksanakan perkara itu kerana perintah Allah. Jadi saya mengajak ADUN-ADUN semualah yang menyokong tindakan kerajaan negeri ini untuk sama-sama kita bangun bagi kita melahirkan kejituan kita dalam usaha kita ‘amar makruf nahi mungkar’,” katanya.

Semua ADUN pemerintah bangun menyokong langkah itu, serta dua wakil rakyat Amanah, Ismail Salleh (PH-Pengkalan Kundor) dan Mohd Asmirul Anuar Aris (PH-Kubang Rotan).

Di Kedah, PAS mempunyai 15 kerusi dan Bersatu 6. Umno mempunyai 2 kerusi. Amanah pula 4 kerusi, PKR 5, dan DAP 2. Pejuang mempunyai 2 kerusi.

“Soalan-soalan seperti itu tidak dibenarkan kerana ia boleh ‘memerangkap’ ADUN,” kata Phahrolrazi.

Beliau menambah pengundian semalam juga menyalahi peraturan Dewan, kerana hanya Speaker boleh meminta pengundian diadakan.

Malah, Speaker pun tertakluk kepada peraturan yang menetapkan kerajaan atau ADUN mesti membuat usul, yang kemudian perlu dibahas, sebelum undian boleh diadakan.

No comments: