Antara sentap dan
'koyak' seorang menteri
Diterbitkan: Nov 16, 2021 9:02 AM
PULASAN | Seperti dijangka tindakan menteri
agama yang tangkas 'bersilat' menepis soalan wartawan mengenai isu lesen judi
di Kedah dibela orang yang ada di sekitarnya. Ia adalah perkara yang sangat
tidak aneh.
Jika Idris Ahmad tidak dibela oleh PAS,
barulah aneh.
Suatu ketika yang tidak lama dulu pun, orang
membela Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selepas pemimpin besar PAS
itu didakwa memandu uji kereta mewah di negeri yang selalu dikutuknya.
Malah orang yang mempertikaikan tindakan
Sanusi itu dibingkaikan sebagai individu yang berniat tidak baik atau ada
hubungan dengan Pakatan Harapan.
Dan terbukti tidak lama selepas itu Sanusi dikenakan
kompaun oleh pihak berkuasa.
Bahawa sesetengah orang sememangnya mahir apabila
berkata-kata semasa berhujah - walaupun pada ketika tertentu hujahnya akan 'ke
laut' atau berputar-putar di sekitar bulatan tidak berkesudahan - adalah sebab
mengapa tidak perlu bagi orang yang bijak membuang masa menuntut penjelasan
bagi hal-hal yang melibatkan politik PAS.
Tiba-tiba Idris Ahmad bertindak membuli wartawan sebuah
portal berita. Secara umumnya naib presiden PAS itu bukanlah menghadiri majlis
perbahasan di parlimen atau debat dengan pembangkang sehingga emosinya boleh
terganggu sebelum dia ditanya soalan mengenai lesen judi di Kedah.
Selalu berasa benar
Idris bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang
Hashim baru saja menghadiri majlis Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu
ditampilkan bersedia dan penuh yakin untuk menguasai Melaka.
Sudah tentu mereka berada dalam keadaan yang bersemangat
dan mood yang baik.
Tetapi Idris dan Awang melayan wartawan yang bertanya
dengan begitu angkuh sekali. Sudahlah ditanya sama ada wartawan terbabit
seorang warganegara Malaysia atau tidak, dia - seorang wanita - kemudian
ditanya bagaimana pandangannya jika bersuamikan kaki judi.
Justeru agak sukar memahmi bagaimana Idris dan Awang
senada melayan seorang wartawan sebegitu. Kecuali kita memahmi psyche PAS dan
ahlinya. Dan ada juga kemungkinan Idris serta Awang terlupa bahawa mereka sudah
menjadi kerajaan sekarang. Mereka cuma ingat bahawa mereka sentiasa benar.
Kita memahami bahawa bagi PAS politik mereka adalah
mudah. Asalkan sesuatu itu mengikut pandangan atau kecenderungan mereka, ia
adalah betul, benar, tepat dan sahih.
Sebaliknya jika ia tidak sealiran dengan mereka, maka ia
diposisikan sebagai salah, sesat, keliru, malah boleh saja mencapai tahap
munafik, kafir dan neraka.
Justeru ada pandangan yang menganggap 'Islam' mungkin
salah, tetapi tidak mungkin PAS salah.
Islam yang dimaksudkan 'salah' itu ialah Islam yang
difahami serta diamalkan oleh sesiapa saja selain PAS. Dan kebanyakan orang PAS
memang yakin bahawa Islam itu PAS, dan PAS itu Islam.
Dalam keadaan begitulah barangkali Idris dan Awang
menjawab soalan wartawan berkenaan.
Sebenarnya ada isu lain yang lebih besar dan meresahkan.
Iaitu bagaimana sebenarnya sikap PAS kepada demokrasi di negara ini ketika kita
melihat satu demi satu kebebasan yang ada disempitkan.
Sebelum ini, pemimpin PAS adalah antara orang yang gigih
mengulang-ulang kata bahawa rakyat sudah tersalah membuat pilihan dalam pilihan
raya umum (PRU) lalu sehingga mereka bertindak "secara demokratik"
untuk membetulkan keadaan.
Tak perlu angguh menjawab
Nah, selain 'Islam' yang mungkin salah, PAS juga
nampaknya begitu bernafsu memberikan takrifan benar atau salah kepada
demokrasi. PRU memberi ruang kepada orang ramai yang cukup syarat-syaratnya
membuat pilihan menentukan kerajaan sendiri.
Mereka sudah bersuara pada 9 Mei 2018 dan ia diketahui
ramai. Tiba-tiba PAS - dan beberapa pemimpin parti lain - asyik meratibkan ayat
bahawa rakyat tersalah pilih. Masalahnya mereka bukan saja mendakwa rakyat
tersalah pilih tetapi memaksakan pula pilihan mereka ke atas rakyat seperi yang
berlaku melalui Langkah Sheraton.
PAS kemudian mendabik dada mengaku membetulkan keadaan.
Sebenarnya PAS ini dengan demokrasi, bagaimana?
Kebebasan media adalah salah satu tiang utama dalam
amalan demokrasi. Benar, ia tidaklah bebas secara mutlak, namun bertanyakan
soalan yang wajar kepada pemimpin mengenai dasar negara sudah tentu bukan
keterlaluan. Dan ia tidaklah berbentuk provokasi. Atau adakah Idris dan Awang
berasa mereka diprovok kerana soalan itu berbahasa Inggeris?
Andainya memang bersifat provokasi (dan diulangi bahawa
soalan tersebut bukanlah bersifat provokasi) adakah ulama sehebat Idris akan
cepat benar 'koyaknya' sehingga boleh menjawab dengan angkuh sekali?
Tugas wartawan ialah menanyakan apa-apa yang dirasakan
perlu diberitahu kepada umum. Terserah kepada seseorang itu - seperti Idris -
untuk menjawabnya atau tidak. Ia boleh dibuat dengan kata-kata yang baik dan
teduh.
Bukannya membalikkan soalan yang diterima daripada
wartawan dan menjadikannya bersifat peribadi. Seperti menyandarkan soalan
kepada hidup wartawan, misalnya.
Rasa terkilan juga melihat kejadian berkenaan ketika kita
tahu Idris itu pernah menjadi ketua penerangan PAS. Media rasmi parti pernah
berada di bawah tanggungjawabnya. Dan dia menguruskan soalan yang datang dengan
cara yang menjengkelkan.
Bersangka buruk dengan menganggap orang lain kerjanya
hanya mahu memburukkan parti kita juga bukanlah sikap terpuji, lebih-lebih lagi
apabila melibatkan seseorang yang dikenali sebagai agamawan.
Tunjuk teladan terpuji
Benar juga, PAS sehari dua ini kelihatan membawa parti
itu sebagai pejuang bahasa Melayu secara tiba-tiba. Kita pun faham mengapa.
Namun sebagai pejuang kita sepatutnya membiasakan diri dengan berkata-kata
dengan bahasa Melayu yang baik.
Menggunakan "you" dan "I"
bersama-sama perkataan bahasa Melayu yang lain sudah tentu bukan imej pejuang
yang baik.
Saya pernah menyatakan dalam tulisan terdahulu bahawa
sepatutnya orang yang paling akhir 'koyak' dengan media atau kata-kata kritikan
di media ialah ilmuan Islam, khususnya dalam kalangan penceramah yang garang di
pentas ceramah, meja kuliah masjid dan usrah.
Malulah sedikit kepada mikrofon itu apabila kita yang
selalu membangkitkan semangat anak bangsa agar menjadi si pemberani dan pejuang
serta menginfakkan diri ke medan juang yang penuh mehnah tetapi tiba-tiba
terkoyak emosinya hanya dengan soalan wartawan.
Menjadi orang politik tidak boleh cepat 'koyak' tetapi
menjadi orang politik sekali gus agamawan meletakkan seseorang itu perlu menunjukkan
teladan yang terpuji semasa menguruskan 'cabaran' di depannya.
Namun kita akan menjangkakan Idris dan Awang - serta
penyokong PAS - tidak akan menganggap ia suatu kesalahan. Malah mungkin akan
ada yang menganggap kedua-dua pemimpin PAS itu melakukan sesuatu yang
mengangkat martabat Islam.
Benar, demokrasi itu ada cacat celanya. Ia sudah tentu
tidak sempurna. Namun buat masa ini ia adalah ruang yang terbaik untuk
berpolitik khususnya di negara ini. PAS sendiri berkali-kali menegaskan bahawa
mereka berpolitik secara demokrasi.
Namun pada amalannya, kadang-kadang ia meragukan juga.
Justeru apakah kita perlu tanyakan sekali lagi: PAS ini dengan demokrasi
sebenarnya bagaimana?
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.