Pas diminta menghentikan politik yang sering mentohmah parti lawan
dengan perkara yang tidak berasas.
Menurut Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, taktik lapuk Pas itu
semakin tidak diyakini oleh rakyat yang kini terbuka kepada pelbagai maklumat.
Katanya, dakwaan terbaharu oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat,
Kamaruzaman Mohamad kononnya PH terkait dengan perjuangan komunis dilihat hanya
untuk mengelirukan pengundi di Melaka dan Pas dinasihatkan agar menggunakan
taktik yang lebih bermaruah untuk menang pilihan raya
"Kalau kita lihat kenyataan yang dibuat Kamaruzaman ini
memang betul betul ditujukan kepada pengundi di Melaka.
"Juga kita dengar di Kedah misalnya berlaku tindakan tidak
lagi akan memperbaharui lesen perjudian. Persoalan yang saya pohon pengundi
Melaka fikirkan, adakah Pas berniat untuk melakukan perkara yang sama di Melaka
kalau Pas pegang kuasa?
"Jadi Pas perlu henti menggunakan agama sebagai gimik
politik. Hentilah menyebarkan fitnah dan maklumat palsu," katanya dalam
sidang media di Parlimen, tengah hari tadi.
Selain itu, Fahmi turut membacakan beberapa nama pemimpin Pas yang
kalah saman fitnah bagi membuktikan parti berkenaan sering menggunakan politik
tohmahan dalam perjuangan mereka.
Antara nama yang disebut adalah Hassan Ali yang kalah saman
terhadap Khalid Samad pada 2017, Pesuruhjaya Pas Perak kalah saman fitnah
terhadap Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Ahli Dewan Ulama Pas kalah saman finah
terhadap Husam Musa pada 2018 dan terbaharu Mahfuz menang saman fitnah terhadap
Menteri Besar Kedah.
Menjawab soalan wartawan mengenai sikap Menteri Agama dari Pas
Idris Ahmad yang kasar terhadap wartawan dalam isu polisi tidak menyambung
permit premis judi di Kedah, Fahmi mendakwa mungkin itulah 'wajah sebenar'
pemimpin Pas yang selama ini tidak kelihatan.
"Saya kesal kenyataan yang dibuat oleh menteri dan timbalan
menteri, ini adalah kenyataan yang angkuh dan riak dan tidak sepadan dengan
kedudukan agama serta timbalan menteri yang memperjuangkan Islam.
"Bila dengar rakaman audio dia seolah-olah menggunakan kuasa
dan kedudukan ke atas wartawan. Mempersoal seakan-akan memperlekehkan
kredibiliti wartawan. Saya kenal wartawan ini, dia berdedikasi dan tidak main
politik.
"Saya harap Pas akan meninjolkan ketrampilan yang lebih baik,
tidak bermain politik. Bagi saya saat itu (insiden memperlekeh) telah
menunjukkan kepada rakyat Malaysia wajah sebenar pemimpin bila berkuasa dan
berjawatan tinggi.
"Maka kita perlu muhasabah adakah mereka ini seperti yang
mereka sebut selama ini atau adakah wajah lain di sebalik kedudukan mereka
sekarang," katanya.