Larangan kedai judi faktor muncul lebih banyak premis haram, kata Saravanan

 

M Saravanan berkata, secara peribadi beliau turut berpendapat bahawa penutupan kedai judi akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan.

PETALING JAYA: Penutupan kedai judi berlesen akan menjadi faktor kemunculan premis judi haram di negara dan juga berisiko menyebabkan masalah pengangguran, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Saravanan memberi maklum balas berhubung soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang membangkitkan isu tersebut dengan berkata, secara peribadi beliau turut berpendapat penutupan kedai judi akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan.

Namun ujarnya, larangan penutupan kedai judi berlesen yang berlaku di Kedah adalah keputusan kerajaan negeri dan di pihak persekutuan masih belum ada ketetapan untuk mengharamkan premis judi di negara ini.

“Ini tidak akan menghapuskan judi. Judi haram akan muncul sebab kita tidak pernah mengharamkan judi di negara ini, walaupun ada lesen pun masih ada judi haram.

“Apabila kedai judi haram bertambah, kerajaan akan hilang pendapatan daripada cukai,” katanya di Dewan Rakyat.

Rayer mempersoalkan adakah Kementerian Sumber Manusia menyedari bahawa langkah penutupan kedai judi akan memberi impak yang serius memandangkan ramai individu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam bekerja di tempat tersebut.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan larangan pengoperasian premis perjudian di negeri itu.

Sanusi berkata, pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen premis kedai perjudian sekali gus melarang operasi pengendali nombor ramalan seperti Magnum 4D, Sports Toto dan Damacai.

Dalam pada itu beliau menggesa pengendali kedai perjudian supaya kreatif dan mencari jenis perniagaan lain.

No comments: