Terikat
hanya Pas dan Umno, Abdul Hadi tolak MN
Oleh MALAYSIA DATELINE / November
25, 2021
Presiden Pas Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berkata Perikatan Nasional (PN) satu-satunya menjadi gagasan
politik yang lebih besar dan perlu berperanan dan berkuasa dalam negara yang
mempunyai masyarakat majmuk ini.
Dalam Minda Presiden Pas
yang terbaru hari ini, Hadi juga berkata, Pas hanyalah berpegang kepada konsep
perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan
umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.
Oleh sebab itulah,
katanya Pas menolak Muafakat Nasional (MN) yang terbelenggu dengan hanya
melibatkan Umno dan Pas sahaja.
Tambahnya, Pas juga menolak
fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh
gagasan yang lebih besar iaitu PN.
“Gagasan
yang ada perlu diubah bentuk dan ikatannya, kerana berlakunya perubahan situasi
dan realiti.
“Dahulunya
Umno ialah sebuah gabungan pertubuhan dan kumpulan Melayu sahaja, kemudian
berubah menjadi satu parti, di samping parti Melayu yang lain seperti Pas dan
Parti Negara.
“Kemudian,
Umno menubuhkan Parti Perikatan dengan memasukkan MCA dan MIC dan selepas itu
parti-parti dari Sarawak dan Sabah. Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969
yang mengejutkan, maka pada tahun 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN) yang
disertai oleh Pas pada awalnya,” kata beliau.
Jelas
Hadi, tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang
boleh mencacatkan struktur negara, sememangnya memerlukan suatu perubahan
kepada proses islah yang dibentuk terkini kerana Barisan Nasional (BN) yang
sudah berpenyakit.
Oleh itu, katanya, langkah
persembahannya bermula dengan penubuhan MN yang tidak lengkap, maka perlu
dilengkapkan dengan penubuhan PN.
Secara
tegasnya kata Hadi, Pas tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang
kefahaman yang lain dan Pas hanya bergerak dengan konsep Islam yang terang lagi
bersuluh.
“PAS
boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar
menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, PAS bukan
parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai
maruah bersama Islam.
“PAS
hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang
berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya.
Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya
semata-mata,”ujarnya lagi.
Justeru
katanya, Pas hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian
yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang
lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN.