Ketua Pembangkang Parlimen
Malaysia mempersoalkan dalam perbahasan sesi pagi sikap Menteri Kewangan Datuk
Seri Tengku Zafrul Aziz yang tidak menjawab lebih daripada 10 hal yang
dikemukakannya.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) mempersoalkan unjuran pertumbuhan dalam Belanjawan 2022 yang menggunakan unjuran 'pertumbuhan yang tertinggi di dunia' merujuk suasana ekonomi negara.
"Kalau dia ada alasan dia boleh berikan. Ini di bawah belanjawan negara, strategi fiskal.
"Ujuran jumlah hasil kerajaan yang lebih tinggi ketimbang 2019, yang juga tidak diberikan penjelasan oleh Menteri Kewangan," katanya .
Mengenai kelulusan lesen judi oleh Kementerian sama, Anwar mahu tahu adakah hal itu telah dipersetujui sama oleh parti-parti Melayu Islam.
"Dalam perkara pertambahan lesen judi tidak diberi penjelasan. Saya tanya bila diluluskan, berapa jumlah, apakah jemaah menteri dimaklumkan? Apakaah parti Melayu Umno, Pas dan Bersatu memberi perakuan kelulusan judi tambahan itu? Belum ada jawapan," katanya.
Anwar turut menyentuh persoalan ketirisan Majlis Keselamatan Negara berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara yang telah melanggar beberapa peraturan kewangan yang melibatkan kedudukan Perdana Menteri selaku Pengersui MKN.
Juga belum dijawab tentang projek spektrum 5G walaupun turut disentuh menteri lain tetapi ianya juga melibatkan kontrak dan pendirian kerajaan tentang off budget
Kemudian pinjaman diberikan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM500 juta kepada Air Asia yang tidak diketahui apakah alasannya memihak kepada Air Asia dan mengepikan MAS.
Projek HSR turut tidak dijawab mengenai pendirian kerajaan meminda aset syarikat 50:50 yang dianggap tidak adil kerana kepentingan Malaysia lebih tinggi
"Tidak juga dijawab pengambilalihan Lapangan Terbang Subang serta kepentingan dalam WCT Holdings entah berapa bilion. Kemudian kita cadangkan peruntukan tambahan Jabatan Audit Negara dan kedudukan dalam JKOM yang juga tidak dijawab," katanya
Tegas Anwar, yang pernah menjawat Menteri Kewangan pada 1992 - 1998, tidak semua boleh dijawab dalam waktu yang singkat, namun katanya jawapan juga boleh diberi secara bertulis.
"Menteri Kewangan tidak boleh jawab semua kerana kekangan waktu, tetapi tiada juga ada jawapan bertulis tentang perkara ini," kata Anwar lagi.