Kebelakangan ini perbalahan politik antara Tun Mahathir Mohamad dengan Najib Razak kembali mewarnai dunia politik negara kita.
Daripada isu rumah, ia kini meleret kepada hal tanah dan sehingga dikeluarkan surat-surat lama berkaitan dengannya.
Selepas ini, entah apa-apa lagi dokumen yang saling mereka dedahkan untuk menegakkan benang basah masing-masing.
Dulu sebelum PRU 2018, kedua-duanya iaitu Tun Mahathir dan Najib juga hebat berbalah hingga melarat kepada pelbagai perkara yang tidak dijangka.
Cuma, pada 2018 itu, seorang berstatus Perdana Menteri dan seorang lagi merupakan bekas Perdana Menteri.
Tetapi kini kedua-duanya adalah bekas Perdana Menteri.
Kalau pada 2018, seorang Perdana Menteri cuba dijatuhkan (berjaya pun akhirnya dijatuhkan) dan seorang lagi bekas Perdana Menteri ingin jadi Perdana Menteri buat kali kedua ( ini juga berjaya dijadikan kenyataan), sekarang ini kedua-duanya adalah bekas Perdana Menteri yang ingin jadi Perdana Menteri sekali lagi.
Tun Mahathir ingin jadi Perdana Menteri buat kali ketiga dan Najib pula ingin jadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Kalau dicampur dengan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin yang juga sedang mengejar cita-cita mahu jadi Perdana Menteri buat kali kedua, bermakna kita kini ada tiga bekas Perdana Menteri yang sedang berlumba-lumba mengejar jawatan yang pernah mereka duduki dan kaut nikmat daripadanya sebelum ini.
Hanya Tun Abdullah Badawi, seorang lagi bekas Perdana Menteri daripada empat bekas Perdana Menteri yang masih hidup yang memilih kehidupan harmoni dan tidak berlumba-lumba mengejar daki-daki dunia.
Dengan ada tiga bekas Perdana Menteri yang antara sedang bersaing untuk menjadi Perdana Menteri semula, dunia politik Malaysia barangkali mencatat sejarah tersendiri yang tiada di negara-negara lain.
Tidak pernah kita mendengar berlaku di mana-mana negara lain ada tiga bekas Perdana Menteri saling berebut kuasa sesama sendiri seperti di negara kota ini.
Kata orang Indonesia – apa-apain begini!!
Itu belum dikira lagi kalau Ismail Sabri Yaakob pun jadi bekas Perdana Menteri tidak lama lagi dan turut menyertai persaingan untuk menjadi Perdana Menteri juga buat kali kedua bagi dirinya.
Jangan pandang rendah pada Pak Long Mail, kalau yang tua-tua pun belum tertutup nafsunya untuk jadi Perdana Menteri buat kali kedua dan ketiga, tentulah tak mustahil jika nafsu beliau pun masih tinggi lagi.
Dan kemudian-kemudian nanti, jika ada lagi bekas Perdana Menteri, sama ada yang kalah pilihanraya atau dijatuhkan, mereka juga mungkin turut memilih untuk bersaing lagi jadi Perdana Menteri.
Akhirnya, politik kita akan sentiasa jadi serabut dengan karenah bekas-bekas Perdana Menteri yang kerjanya asyik mengheret rakyat untuk kepentingan nafsu kuasa mereka yang tak puas-puas itu.
Lebih buruk, yang ada skandal akan sedaya upaya memutar akal untuk menutup skandal mereka, manakala yang pernah dicop gagal terus lupa tentang kegagalannya sebelum ini.
Apa nak jadi akhirnya kepada rakyat dan negara jika keadaan itu berlarutan berpuluh-puluh tahun lamanya?
Sudah berpeluang menjadi Perdana Menteri, untuk apa lagi bekas-bekas ini mahu mengejarnya buat kali kedua?
Kenapa tidak semua bekas-bekas ini berlapang dada dan lebih punya jiwa dengan memberi peluang kepada pemimpin lain menunjukkan wibawa memimpin negara?
Bukankah lebih baik bersara saja dan berehat bersama keluarga sambil memgutip pahala sebagai bekalan untuk mengadap Yang Maha Esa, selain itu juga dapat mengharmonikan negara?
Atau barangkali sudah sampai masanya perlembagaan negara harus dipinda dengan tidak membenarkan lagi bekas Perdana Menteri mencuba atau berusaha menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, ketiga dan seterusnya? –
ShahbudinHusin 25/11/2021.