Walhasil balik asal ke PAS?


Mohsin Abdullah

 

November 25, 2021 


Saya tersenyum lebar malah ketawa ketika membaca kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, 23 November lalu. Menurut Takiyuddin, Jemaah Menteri yang tentukan bila PRU15 akan diadakan. Bukan parti politik. Saya ketawa bukan menafikan kata-kata beliau.

Kata Takiyuddin, parti politik tidak boleh menentukan bila PRU15 perlu dilaksanakan kerana sebarang keputusan mengenai pilihan raya akan diputuskan oleh Jemaah Menteri berdasarkan Perlembagaan, memandangkan negara masih lagi dalam fasa pandemik Covid 19.

Itu betul. Malah pada waktu tidak ada wabak Covid-19 pun (atau apa jua wabak) Jemaah Menteri lah yang menentukan bila pilihan raya perlu diadakan. Kerana undang-undang utama Malaysia itu digubal pada 1956, tentunya tanpa mengambil kira wabak. Lagi pun, tidak siapa yang menjangka wabak akan melanda. Ringkasnya “hujan atau taufan” soal pilihan raya diputuskan Jemaah Menteri. Dalam lain perkataan, kerajaan.

Saya kira Takiyiddin merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bahawa PRU15 perlu diadakan dalam masa terdekat berikutan kemenangan BN-Umno pada PRN Melaka tempoh hari. Menurut Tok Mat, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas, Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan kata-kata Timbalan Presiden Umno satu cadangan “rasmi” Umno kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno. Atau beliau mungkin mentafsirkan kenyataan Timbalan Presiden Umno langkah Umno mahu menentukan bila PRU15 diadakan. (Timbalan Presiden bahkan Presiden Umno sendiri bukan anggota Jemaah Menteri).

Tetapi apabila beliau sendiri mengakui keputusan PRU hanya boleh dibuat Jemaah Menteri, bukan parti politik, saya garu kepala. Bukankah Jemaah Menteri semuanya datang daripada parti politik? Bukankah mereka orang parti? Ini yang buat saya ketawa.

Saya faham apa yang dibayangkan Takiyuddin iaitu bukan orang Umno sahaja yang duduk dalam Jemaah Menteri. Ada juga orang Bersatu. MCA, parti Sabah dan Sarawak, dan juga PAS. Oleh itu apa yang ‘mungkin’ mahu dikatakan Takiyuddin ialah pendapat mereka juga mesti diambil kira bukan sahaja pandangan Umno. Mereka juga ada suara dalam menentukan keputusan berhubung PRU.

Betul kerana kita kerap diberitahu Jemaah Menteri buat keputusan berdasarkan “konsensus”. Namun pada waktu dan perkara penting tertentu Perdana Menteri mempunyai “the final say” atau hak buat keputusan muktamad.

Pada masa lampau parti politik yang menguasai kerajaan memberi mandat kepada ketua mereka yakni Perdana Menteri membuat keputusan penting itu. Perdana Menteri akan mendengar semua pandangan orang partinya dalam dan luar kerajaan, “think tank”, serta mengambil kira keadaan semasa iklim politik ketika itu.


Dalam sistem politik kita, tarikh pilihan raya tidak ditetapkan dan diumum awal sehingga memberi “advantage” kepada pemerintah. Lazimnya Perdana Menteri akan pilih waktu partinya di “kemuncak” kekuatan sementara parti lawan berada pada “kemuncak” kelemahan. Setelah mengambil kira semua percaturan, Perdana Menteri membuat keputusan.

Itu amalan lazim di negara ini tidak kira sama ada satu parti atau satu gabungan politik menguasai kerajaan. Cuma kali ini kerajaan merangkumi wakil pelbagai parti dan gabungan politik yang berbeza ideologi. Ini menyulitkan. Apatah lagi ada parti kawan di sini, tapi lawan di sana.

BN-Umno sekarang memang merasa mereka dalam keadaan selesa untuk menghadapi PRU15 setelah kemenangan bergaya di Melaka. Tetapi tidak untuk PAS dan Bersatu.

Namun seperti dikatakan tadi Perdana Menteri mempunyai kuasa penentu dan beliau orang Umno. Tidaklah perlu kita dingatkan bahawa di Melaka, Bersatu dan PAS sama-sama menggunakan lambang Perikatan Nasional menentang BN-Umno. Sukar untuk Umno melupakan itu.

Beralih pula kepada isu hubungan BN-PN terutama PAS kerana Bersatu bagai sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Umno. Itu setakat sekarang. Kita tahu dalam politik semua boleh terjadi.

Lantas bercakap mengenai PAS, imbas kembali kata-kata penganalisis politik yang saya pernah petik untuk artikel-artikel lalu berhubung PRN Melaka dan pendirian parti itu menggunakan lambang PN di bumi Hang Tuah itu.

“PAS ni boleh ‘konar’ bila-bila masa sahaja. Tidak mustahil kalau semua calon PN di Melaka kalah apa lagi kalau calon PAS guna lambang PN kalah dan kebetulan Umno menang dan dapat kuasa Melaka, PAS akan berpatah balik sebab bagi PAS tindakan begitu dianggap politik sejahtera,” kata penulis politik veteran Mohd Sayuti Omar kepada saya 2 November lalu.

“Soal memilih PN berbanding Muafakat Nasional, keputusan PRN Melaka akan menguji kewibawaan PAS. Sekiranya PAS membuat pusingan U dalam keputusan besar mereka ini akan memperlihatkan PAS tidak setia dengan Bersatu,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, kepada saya sehari selepas PRN Melaka.

Oktober lalu, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, dipetik media berkata “saya jangka PAS akan kembali kepada MN jika PN kalah teruk di Melaka.”

Itu sebelum PRN Melaka.

Tiga hari selepas PRN Melaka, kata Takiyuddin apabila ditanya wartawan sama ada PAS akan kembali kepada ‘penyatuan ummah’ bersama Umno: “Dalam politik ini, tujuannya untuk capai kestabilan dalam negara. Apa sahaja amalan yang bawa kestabilan kepada negara adalah satu amalan yang baik bagi saya.”

Jika itu samar-samar, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, lebih jelas. Kata beliau, akar umbi PAS diakui lebih memilih untuk bersama MN dan usaha kerjasama dengan Umno diharap dapat terus diperkuatkan lagi menjelang PRU akan datang.

Maksudnya, pimpinan PAS akui dan mungkin juga “mesti” akur dengan hasrat akar umbi. Yang peliknya hasrat akar umbi diakui selepas kekalahan di Melaka bukan sebelumnya.

Apa pun, menurut Hashim, PAS tidak akan meninggalkan PN (Bersatu) demi agenda penyatuan ummah, meskipun akar umbi PAS cenderung MN (Umno).

Walhasil balik asal nampaknya!

No comments: