Sekolah dibuka berperingkat mulai 1 Sept


Sekolah dijangka akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September.

PETALING JAYA: Sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September, kata Kementerian Pendidikan.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata keputusan itu dicapai selepas melihat kadar vaksinasi dalam kalangan warga sektor pendidikan membabitkan guru dan pentadbir yang sudah mencapai 61.3% atau 253,366 orang bagi dos pertama sehingga semalam.

Selain itu, seramai 46.33% atau 10,876 orang kakitangan sokongan juga sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

“KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos.

“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM,” katanya.

No comments: