Sekretariat Solidariti Rakyat desak PM undur, kes Covid-19 meningkat bukti PN hilang kredibiliti

 

Sekretariat Solidariti Rakyat bawa dua simbol iaitu ‘mayat’ dan ’14 bendera hitam’ sebagai isyarat dan bukti kegagalan kerajaan.

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Rakyat, penganjur bersama Himpunan #Undi18Now, mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur segera berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional membendung pandemik Covid-19.

Kes positif harian yang direkodkan pada 15 Julai, iaitu 13,215 kes membuktikan angka kematian dan kes harian semakin meruncing.

Dalam satu himpunan aman di Dataran Merdeka hari ini, badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata mereka membawa dua simbol utama sebagai bukti kredibiliti kerajaan PN telah gagal.

Katanya, dua simbol berkenaan adalah “mayat” yang melambangkan jumlah kematian yang semakin tinggi dan kes bunuh diri yang berleluasa serta kibaran “14 bendera hitam” sebagai isyarat kemarahan rakyat di setiap negeri dan wilayah.

“Ini tidak dapat dinafikan apabila ciapan #Lawan, #KerajaanGagal, #KerajaanPembunuh, #KerajaanBodoh tular di semua platform media sosial.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat sudah penat dan marah dengan sikap ego kerajaan PPN yang enggan meletakkan jawatan,” menurut kenyataan itu.

NGO itu berkata, ketidakcekapan dan kecuaian kerajaan secara berterusan dalam mengendalikan penularan wabak Covid-19 dan sikap mengubah keputusan selepas membuat sesuatu pengumuman tanpa merujuk pada yang lebih arif mengakibatkan kekeliruan yang berterusan kepada rakyat.

“Sikap Perdana Menteri dan Menteri yang terus menyindir kempen solidariti bendera putih rakyat adalah sangat tidak peka dan prihatin keluh kesah rakyat yang sedang terhimpit dan tertekan akibat kehilangan sumber pendapatan bagi meneruskan kehidupan.

“Rakyat akan mati kelaparan akibat tiada pendapatan atau mati akibat terkena jangkitan Covid-19 dan Perdana Menteri masih boleh buat lawak bodoh untuk menaikkan bendera biru,” katanya.

No comments: