Kata Mahiaddin Md Yasin, jangan peduli dan terpedaya dengan kempen kerajaan gagal.
Menurut beliau, kerajaan tidak gagal dan terus berfungsi dengan baik, malah data bantuan untuk rakyat sentiasa ada di setiap kementerian.
Untuk itu, tambahnya lagi, tidak perlu adanya kempen mengibar bendera putih atau bendera hitam.
Kibar bendera biru tak apa, katanya sebagai merujuk warna biru kusam yang merupakan warna bagi logo PN.
Ada menteri UMNO berkata, kerajaan PN tidak gagal, ia cuma belum berjaya saja.
Entahlah, rasanya antara gagal dan belum berjaya lebih kurang sama saja maksudnya.
Seorang lagi pemimpin UMNO yang turut menjadi penyokong kuat Mahiaddin berkata, yang kata gagal itu celah mana?
Menurut beliau, tidak ada yang gagal kerana kerajaan sentiasa berfungsi dengan baik sebagai satu pasukan.
Ada juga pemimpin tertentu, barangkali kerana terlampau ingin mengampu, memberitahu bukan kerajaan yang gagal, sebaliknya rakyat yang gagal.
Ehhh…sebelum nak salahkan rakyat, sedarlah siapa yang mengurus negara dengan gaji lumayan setiap bulan?
Adakah rakyat atau pemimpin?
Beberapa pemimpin lain dalam PN turut mempertahankan kerajaan PN tidak gagal dengan pelbagai hujah serta alasan.
Pokoknya masing-masing cuba tampil dengan hujah tersendiri mempertahankan kerajaan tidak gagal, manakala rakyat terus mengasak bahawa kerajaan sememangnya gagal.
Gagalnya kerajaan pada asasnya meliputi banyak aspek, daripada menangani Covid19, memulih ekonomi, memberi kesejahteraan kepada rakyat dan macam-macam lagi.
Bagaimana rakyat tertekan nak cari makan, dikurung berbulan-bulan sehingga ramai gantung diri dan terjun bangunan adalah lumrah yang berlaku setiap hari.
Ia diburukkan lagi, sementara kematian terus meningkat, ada hospital sampai merayu bantuan pihak swasta untuk menderma kontena bagi menyimpan mayat.
Bukankah hospital kerajaan merupakan tanggungan kerajaan, ke mana peruntukan yang kononnya berbilion-bilion disediakan sewaktu pandemik ini?
Tidakkah semua ini menandakan sebuah kerajaan yang gagal sedang memerintah negara ini?
Kalau tidak gagal, takkanlah perkara kecil seperti membeli kontena mayat pun tidak mampu?
Dalam pada itu, selain timbunan kegagalan lain yang dirasai rakyat, kegagalan paling asas PN dan Mahiaddin ialah kerana ia gagal mengabsahkan kedudukannya sebagai kerajaan sejak dulu, kini dan selamanya.
Mahiaddin sentiasa saja mengelak atau berdalih untuk kedudukan sokongan yang ada padanya diibuktikan secara terbuka.
Kalau kahwin secara sah, kenapa takut menunjukkan sijil nikah?
Selagi kegagalan asas itu tidak berani dibuktikan atau diatasi, selagi itulah kegagalan akan datang bertimpa-timpa menimpa bahu Mahiaddin tanpa ada kesudahannya.
(ShahbudinHusin 17/07/2021)