Sekolah dibuka 1 Sept, bagaimana keselamatan pelajar belum divaksin? soal pakar

 

KPM seharusnya membenarkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga hujung tahun sesi persekolahan 2021 berbanding terhad sehingga 31 Ogos, kata penganalisis pendidikan Anuar Ahmad.

PETALING JAYA: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan sesi persekolahan dibuka secara berperingkat mulai 1 September ini dipertikai, kerana tidak mengambil berat keselamatan pelajar yang majoritinya berumur 18 tahun ke bawah yang belum divaksin.

Penganalisis pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pembukaan sekolah sepatutnya tidak dilakukan secara tergesa-gesa sehingga KPM mempunyai SOP jelas dan berkesan untuk melindungi kumpulan yang belum divaksin.

“Jumlah murid yang terlibat keseluruhan berjumlah hampir 5 juta di seluruh negara. Setiap murid mempunyai keluarga.

“Bagaimana KPM boleh memberi jaminan bahawa murid yang akan ke sekolah tidak berisiko menjadi pembawa ‘carrier’ virus Covid-19 ke dalam keluarga mereka? Bolehkah tanpa jaminan keselamatan, sekolah-sekolah dibuka semula?,” soalnya dalam kenyataan.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 18 tahun ke atas kini boleh mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan susulan mengenai pengumuman berkenaan.

Sebelum ini MySejahtera hanya membenarkan keluarga mendaftarkan tanggungan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Ini susulan kelulusan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi golongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, demi kebaikan semua pihak khususnya ibubapa dan murid-murid, KPM seharusnya membenarkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga hujung tahun sesi persekolahan 2021 berbanding terhad sehingga 31 Ogos.

“Meneruskan PdPR sehingga hujung tahun 2021 dilihat lebih praktikal, teratur dan sesuai,” katanya.

Beliau berkata, persoalan juga timbul jika terdapat ibubapa yang masih tidak bersedia membenarkan anak-anak mereka ke sekolah pada September nanti atas faktor keselamatan.

“Justeru, adakah PdPR akan diteruskan serentak semasa sesi persekolahan berjalan? Adakah guru-guru perlu melakukan dua beban pengajaran (di dalam kelas dan juga PdPR).

“Adakah adil pada murid-murid yang tidak hadir ke sekolah jika PdPR tidak lagi dilaksanakan selepas sekolah dibuka semula?,” katanya.

Terdahulu, KPM mengumumkan sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata keputusan itu dicapai selepas melihat kepada kadar vaksinasi dalam kalangan warga sektor pendidikan membabitkan guru dan pentadbir yang sudah mencapai 61.3% atau 253,366 orang bagi dos pertama sehingga semalam.

No comments: