Sekarang bukan masa sesuai berpolitik perkecil PM, menteri ketika darurat, kata Hadi
PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak bersetuju gerakan pihak melakukan kempen politik dengan memperkecilkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan menteri lain dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ketika tempoh darurat.
“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kempen politik bagi memperkecilkan perdana menteri mahupun para menteri yang menjalankan tugas ketika tempoh darurat,”kata Hadi menerusi Twitternya hari ini.
Hadi turut menyarankan mana-mana pihak yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang darurat.
Katanya, tindakan sama juga perlu dikenakan terhadap segelintir pengamal media dan pengguna media sosial yang menyalahgunakan kebebasan diberi.
“Pada masa berlakunya wabak inilah, undang-undang darurat yang tegas demi menjaga nyawa manusia mesti dikenakan terhadap mereka yang tidak menghormati kepentingan masyarakat umum, khususnya pengamal media yang menyalahgunakan kebebasan media dalam suasana hari ini,”katanya.
Kenyataan Hadi itu dipercayai merujuk kepada segelintir pihak yang mempertikai keputusan diambil kerajaan selepas berlaku peningkatan jangkitan harian Covid-19 melebihi 7,000 kes.