Azalina cadang SOP buka Parlimen, harap sokongan semua Ahli Parlimen

 

Afiezy Azaman
Azalina cadang SOP buka Parlimen, harap sokongan semua Ahli Parlimen
Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa kecewa susulan tiada tindakan daripada pihak kerajaan berkaitan persoalan mengenai Parlimen. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pergantungan Parlimen bukan sahaja melumpuhkan sistem demokrasi tetapi juga melumpuhkan kapasiti pegawai kerajaan untuk bertindak balas terhadap kebimbangan disuarakan Ahli Parlimen di luar Parlimen.
Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa kecewa susulan tiada tindakan daripada pihak kerajaan berkaitan persoalan mengenai Parlimen.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu turut menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi parlimen yang beliau harapkan mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen.
"Minimakan risiko COVID-19: Memastikan semua petugas Parlimen divaksinasi termasuk kesemua ahli parlimen dan senator. Kategorikan petugas parlimen sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka menjaga sistem demokrasi negara.
"Minimakan 'drama' tidak munasabah di Parlimen: Isytiharkan Ordinan untuk Parlimen bersidang semula tanpa usul percaya dibawa sehingga sekurang-kurangnya pandemik dikawal dan imuniti kelompok mencapai 50 peratus. Tiada Pilihan Raya boleh diadakan tetapi kerajaan interim kecemasan dengan kabinet kecemasan ditubuhkan dengan wakil dari semua parti.
"Memudahkan kecekapan proses parlimen: Labur di dalam menyediakan Parlimen Maya dan sistem ucapan teks. Ini tidak mahal, Malah aplikasi Zoom memberikan sistem undian untuk memudahkan proses pengundian," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, SOP lain termasuk menguatkuasakan syarat korum untuk prosiding parlimen.
Katanya Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar untuk memastikan penjarakan fizikal dan tidak perlu bimbang dengan ketertiban dan prosedur perlembangaan Parlimen kerana negara kini berada dalam keadaan darurat.
"Mempromosikan Semak dan Imbang: Gunakan Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai alat alternatif untuk menubuhkan proses siasatan telus dan promosikan akauntabiliti eksekutif. Jadikan proses dapat diakses oleh orang awam secara pantas supaya orang awam boleh menyertainya.
"Pastikan peruntukan dana kawasan yang adil: Memperuntukkan 'Dana COVID Kawasan Pilihan Raya' sebagai bipartisan dan alat untuk 'reset, restart dan realign' perbezaan politik parti-parti terhadap sasaran yang sama iaitu Pandemik COVID-19. Tolong pertimbangankan juga membenarkan semua ahli parlimen keistimewaan perjalana khas untuk melawat kawasan (untuk tujuan kerja sahaja).
"Untuk merapatkan jurang ideologi politik yang terus berkembang: Membenarkan Ahli Parlimen untuk 'cross the floor', bekerjasama dan membenarkan mereka menyuarakan kebimbangan, lengkapkan mereka dengan maklumat diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan dan mempertahankan strategi kerajaan," ujarnya.
Terakhir, Azalina berkata, merapatkan defisit kepercayaan antara rakyat dan pentadbir dengan menggunakan khidmat Ahli Parlimen sebagai ejen komunikasi antara maklumat kesihatan awam.
Justeru itu, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh meletakkan 'lockdown' kepada proses demokrasi.
"Menafikan hak ahli parlimen untuk melibatkan diri dengan kerajaan bermakna anda menafikan hak masyarakat," ujarnya.

No comments: