Setelah Najib sampaikan permohonan maaf, namun Tajuddin tetap dipecat, ini adalah penghinaan buat UMNO

 


Setelah Najib sampaikan permohonan maaf, namun Tajuddin tetap dipecat, ini adalah penghinaan buat UMNO


Hanya sehari selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman ramai berikutan penampilan dan kata-katanya dalam sidang media semalam yang dianggap tidak wajar dengan malapetaka yang sedang menimpa negara iaitu insiden perlanggaran tren LRT, Tajuddin Abdul Rahman secara serta-merta dipecat daripada jawatannya sebagai Pengerusi Prasarana Bhd.

Pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz lewat petang tadi.

Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemegang saham tunggal Prasarana Bhd yang memiliki sebahagian besar rangkaian pengangkutan awam di negara ini.

Tiada sebarang sebab diberikan oleh Tengku Zafrul sebagai alasan pemecatan itu, tetapi ia dipercayai kerana sikap dan penampilan Tajuddin yang tidak wajar serta memalukan dalam sidang medianya berikutan insiden pelanggaran tren LRT itu, selain mungkin juga disebabkan kelewatannya turun turun padang melawat tempat kemalangan.

Sebagaimana beberapa petikan video sidang media Tajuddin telah tular di media sosial dan menimbulkan kecaman ramai, susulannya turut muncul satu petisyen yang mendesak bellau meletakkan jawatannya.

Meskipun pemecatan Tajuddin adalah sesuatu yang boleh diterima secara amnya, tetapi tindakan memecat beliau secara serta-merta di hari cuti umum Hari Wesak adalah suatu penghinaan buat UMNO dan BN yang merupakan pemegang jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam kerajaan PN sekarang.

Dengan hakikat bahawa Tengku Zafrul bertindak memecat Tajuddin tentunya atas restu dan pengetahuan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, UMNO kini secara terang-terangan telah dimalukan di sebalik parti itu telah pun memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu.

Kenapa kerajaan PN yang diterajui Presiden Bersatu begitu ghairah ingin memecat Tajuddin seolah-olah “tiada lagi hari esok”?

Apakah Tajuddin telah melakukan kesalahan jenayah serius melalui jawatannya sehingga pemecatannya perlu dibuat secara serta-merta, tidak boleh ditangguhkan, dilakukan pada hari cuti umum dan langsung tidak boleh dimaafkan?

Tidak bolehkah ditunggu sehingga esok pagi atau tidak bolehkah Tajuddin dipanggil dan dinasihati, sama ada oleh Perdana Menteri atau Menteri Kewangan agar lebih beradab dalam mengadakan sidang media selepas ini?

Tambahan lagi, pada petang tadi, Najib Razak sendiri tampil menyatakan beliau telah menghubungi Tajuddin dan Ahli Parlimen Pasir Salak itu mengaku kesilapannya kerana berseloroh secara berlebihan dalam sidang media semalam serta memohon maaf atas keterlanjurannya.

Najib turut menyebut bahawa Tajuddin juga meminta maaf kepada wartawan yang mungkin tersinggung dengan cara dan kata yang dilafazkannya.

Dalam hal ini, apakah ia bermakna permohonan maaf Tajuddin yang disampaikan melalui Najib langsung tidak dipedulikan dan tidak diterima oleh kerajaan?

Kepada UMNO, haruslah disedari bahawa Tajuddin adalah pemimpin penting parti berikutan jawatannya selaku Pengarah Pilihanraya dan sekarang, apakah mereka rela dimalu dan dihina begitu saja?

Tidakkah jika UMNO tidak mampu berbuat apa-apa, ini bermakna parti itu tidak ubah seperti “tawanan perang” kepada Bersatu dan PN dalam #KerajaanGagal yang diterajui Mahiaddin? (ShahbudinHusin 26/05/2021)

No comments: