KJ gaya macam gah, tapi lemah!

 KJ gaya macam gah, tapi lemah!

Kemarahan rakyat terhadap pengendalian sistem pendaftaran pengambilan vaksin yang dibuat pada hari ini membuktikan bagaimana pengurusan menteri bertanggungjawab, Khairy Jamaluddin begitu lemah dan bercelaru.

Dengan pendedahan peruntukan sebanyak RM 70 juta duit pembayar cukai bagi mengendalikan integrasi data dan sistem janji temu, masalah yang berlaku pada hari ini tidak sepatutnya berlaku.

Saudara Khairy seharusnya memberi jawapan segera kepada persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat berhubung pengendalian pendaftaran dan pemberian vaksin ini dan siapa yang bertanggungjawab dalam pengurusan sistem data yang bercelaru dan perkhidmatan yang tidak sepadan dengan nilai yang dibayar.

Sebagai seorang menteri yang dilihat ke hadapan dalam memberi jawapan dan maklum balas berkaitan vaksin, saudara Khairy perlu secara telus dan tanpa berselindung memaklumkan kepada rakyat syarikat manakah yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut dan apakah tindakan yang diambil sebagai pengajaran kepada apa yang berlaku pada hari ini.

Harus diperingatkan bahawa tohmahan yang mengatakan rakyat Malaysia tidak ambil peduli dengan gesaan mendapatkan vaksin ternyata tidak benar tetapi masalah utama yang dihadapi hari ini adalah pengurusan dan kelemahan ketara pihak kerajaan dalam menyampaikannya kepada rakyat.

Rakyat sudah letih dan tidak lagi berdaya untuk terus dijadikan mangsa akibat kelalaian dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 ini. Jadi janganlah sampai perkara semudah hal pendaftaran ini pun kerajaan tidak mampu untuk kendalikan.

Dengan nilai sebanyak RM 5 bilion wang pembayar cukai yang telah diperuntukkan,
rakyat Malaysia berhak mendapat perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Bukan dipermain-mainkan seperti apa yang berlaku pada hari ini.

MOHD SANY HAMZAN
Pengarah
Biro Mobilisasi AMANAH Nasional

26 Mei 2021

No comments: