Scam vaksin: ‘Wakil syarikat’ disyaki cuba tipu kerajaan Pulau Pinang

 

FMT Reporters

 -

May 23, 2021 10:38 AM


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menunjukkan surat tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 daripada sebuah syarikat baru-baru ini.


PETALING JAYA: “Wakil syarikat” Xintai Development Enterprise Ltd yang dipercayai cuba menipu kerajaan Pulau Pinang dengan menawarkan dua juta dos vaksin jenis Sinovac tidak wujud, kata Ketua Polis Negeri Sahabudin Abd Manan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati penulis surat yang menawarkan dua juta dos vaksin tersebut bukanlah pengarah urusan terbabit seperti yang dinyatakan di dalam surat berkenaan.

“Penulis surat tersebut hanyalah ‘wakil’ kepada syarikat Xintai Development yang dilantik secara lisan sahaja,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sahabudin berkata, ketika keterangan diambil, penulis surat itu mengesahkan bahawa tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang adalah miliknya.

“Kita akan menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan pengesahan status pendaftaran syarikat itu serta peranan penulis surat yang membuat tawaran terbabit kepada kerajaan negeri.

“Siasatan masih di peringkat awal. Bebebapa tindakan perlu diambil, iaitu merakam percakapan saksi daripada pihak syarikat yang berkaitan serta saksi daripada pejabat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang,” tambah beliau.

Katanya, langkah menghubungi syarikat berkaitan juga perlu diambil untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat itu serta peranan penulis surat.

“Kertas siasatan akan dihantar ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selepas semua tindakan siasatan selesai diambil,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini polis menerima enam laporan polis oleh beberapa individu yang mewakili beberapa parti politik, termasuk dari pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sahabudin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh seorang individu pada 19 Mei bersabit kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata, tawaran sumbangan vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang adalah penipuan.

 

No comments: