Tak adil ‘palit’ Umno
dengan kegagalan PN, kata Zahid
-
May 23, 2021
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun Ahli
Parlimennya bersetuju menganggotai Kabinet Muhyiddin Yassin, tidak bermakna
parti itu terlibat secara langsung dalam menentukan dasar negara.
PETALING
JAYA: Cubaan untuk mengaitkan Umno dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional
(PN) memerangi penularan Covid-19 tidak adil dan tidak seharusnya berlaku, kata
Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden
Umno berkata, walaupun beberapa Ahli Parlimen parti bersetuju menganggotai
Kabinet pimpinan Muhyiddin Yassin, ia tidak bermakna Umno terlibat secara
langsung dalam menentukan dasar negara.
Umno
sebelum ini menyokong pembentukan kerajaan baharu diterajui oleh Muhyiddin
namun parti itu tidak menyertai PN, malah mahu menamatkan kerjasama
politik dengan Bersatu dalam menghadapi PRU15.
Zahid
berkata, segala ketetapan mengenai dasar berkait pengurusan pandemik Covid-19
dibuat sepenuhnya oleh kerajaan pimpinan PN.
“Adalah tidak adil apa sahaja kegagalan kerajaan PN cuba
dikaitkan dengan Umno gara-gara beberapa Ahli Parlimen (Umno) menerima tawaran
menganggotai kerajaan PN.
“Penentuan dasar negara menjadi hak mutlak kerajaan PN sejak
Ordinan Darurat dilaksanakan,” katanya di Facebook.
Beliau menjawab kritikan segelintir pihak yang cuba “memalitkan”
Umno dengan kegagalan PN terutama dalam menarik pelabur asing.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, bagi
mengimbangi proses semak dan imbang, Umno komited menyalurkan pandangan kepada
kerajaan PN menerusi pelbagai platform, memandangkan Parlimen digantung.
“Malangnya, kebanyakan pandangan dan nasihat (Umno) tentang
Covid-19 kurang diberi perhatian. Mengapa jadi begitu? Saya fikir semua boleh
mengandaikan sebabnya,” katanya.
Kerajaan pimpinan Muhyiddin menerima kritikan pelbagai pihak
termasuk kalangan pemimpin Umno kerana dilihat gagal membendung pandemik
Covid-19, walaupun melaksanakan Ordinan Darurat yang memberikan Putrajaya lebih
kuasa dalam membuat keputusan.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak memberi amaran bahawa Umno akan dipersalahkan atas kegagalan kerajaan PN memulihkan ekonomi.