By Kasthuri Jeevendran - 23 May 2021
A. Kadir Jasin
KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa mengamalkan sistem kasta hingga
mendorong golongan tertentu mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya,
kata Datuk A. Kadir Jasin.
Bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu
mengambil contoh pasangan suami isteri selebriti yang kini menjadi sasaran
kebencian dan kemarahan warga Internet.
Katanya, pasangan suami isteri ini ini memperagakan aspek
fizikal yang kononnya “Islamik” dan dikatakan berjaya dalam kerjaya
masing-masing.
Tidak lama dulu, mereka disanjung dan dipuja sebagai idola,
manusia contoh dan sumber ilham.
”Sejak itu, ketidaksenangan masyarakat terhadap golongan yang
digelar sebagai kayangan, payung kuning, dewa dan dewi ini meledak.
”Kerajaan dilihat sebagai mengamalkan sistem kasta manakala
golongan atasan ini pula, dengan sewenang-wenang, mengambil kesempatan
daripadanya,” katanya.
Dakwanya, hukuman berat dan cepat ke atas rakyat biasa yang
melanggar undang-undang, khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP)
Covid-19, tetapi melonggar dan melengah-lengahkan tindakan ke atas golongan
dianggap ‘kayangan’.
“Cerita ini bukan mengenai artiste (pelakon), selebriti, orang
gilakan kegemerlapan (glamour) atau yang ketagih sanjungan. Cerita ini
adalah mengenai kebencian orang ramai terhadap kerajaan yang ditunjukkan dalam
pelbagai bentuk dan dengan bermacam-macam cara.
Malah, beliau mendakwa, golongan ulama dan agamawan yang sebelum
ini dihormati kini semakin tidak dipercayai kerana dilihat bersekongkol dengan
kerajaan yang tiada keabsahan.
“Apa yang sedang berlaku sekarang mendedahkan ciri-ciri kasta
dan kelas yang mendalam dalam masyarakat kita.
“Kalau kita tidak berhati-hati, amalan kasta, pilih bulu dan neo feudalisme ini boleh menyemarakkan semula “class struggle” masa lampau,” tegasnya. -MG