BERITA BAIK – MESKI MAHIADDIN KECUNDANG DENGAN RAMBUTAN, KERAJAAN PN INI MASIH LAGI CERAH MASA DEPANNYA

 

Berikutan kedudukan Mahiaddin Md Yasin ketika ini semakin jatuh terperosok, dikutuk, dihina dan dibenci, sehingga dipertandingkan dengan rambutan pun hanya mampu mendapat 4 peratus undi manakala buah tempatan itu menang bergaya dengan meraih 96 peratus sokongan, maka ada orang bertanya, masih bolehkah kerajaan PN ini diselamatkan lagi?

Melihat kebencian dan penolakan yang hampir merata di mana-mana, sepertinya tiada sesiapa lagi mahu mengekalkan kerajaan PN ini.

Tambahan lagi, dalam mengurus dan mengawal pandemik Covid19 sejak lebih setahun, Mahiaddin dan PN disifatkan telah gagal sama sekali sehingga negara dan kehidupan rakyat jadi haru-biru dibuatnya.

Berdasarkan situasi semasa itu, ditambah dengan keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 akan datang, sejujurnya memang sukar untuk PN mampu terus bertahan.

Bahkan, jika berlaku pertarungan tiga penjuru dalam PRU15 nanti – PN, PH dan BN – kebarangkalian paling tinggi ialah PN akan mendapat kedudukan tercorot sekali.

Bukan saja kerusi-kerusi asal Bersatu sukar dipertahankan, bahkan Ahli-Ahli Parlimen katak daripada UMNO dan PKR yang kini berada di dalam Bersatu juga terlihat tiada harapan lagi untuk mengekalkan kedudukan mereka.

Secara mudahnya, semua Ahli Parlimen dalam Bersatu sekarang adalah dikira pengkhianat di mata rakyat – mereka khianat kepada PH, khianat kepada PKR dan khianat kepada UMNO – dan rakyat yang waras serta tidak disumbat dedak, logiknya pasti akan menolak golongan tersebut sebagai pemimpin bila tiba waktu undian nanti.

Orang yang khianat, sama macam darurat keadaannya, mesti ada titik penamatnya.


Sebagaimana darurat tidak boleh dikuatkuasakan selama-lamanya oleh mana-mana kerajaan di dunia ini, pemimpin khianat juga tidak mungkin mampu bertahan dengan sifat khianatnya itu buat selama-lamanya.

Lantaran itu, Mahiaddin dan kerajaan PN ini hampir tiada peluang lagi untuk mempertahankan kedudukan mereka dalam PRU15 akan datang nanti.

Sebagaimana rakyat ghairah mahu menjatuhkan BN sebelum PRU14 lalu, keghairahan yang sama ketika ini jauh lebih meluap-luap lagi.

Lagi pula, kerajaan PN ini adalah kerajaan yang tidak pernah diberi mandat oleh rakyat dalam proses pilihanraya untuk menjadi kerajaan, ia adalah kerajaan pintu belakang atau kerajaan curi – itulah sifatnya yang paling mudah untuk difahami.

Waima jika Mahiaddin sedia berundur dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada UMNO sekali pun, dan itu dilihat sebagai satu-satunya cara kerajaan PN ini dapat dikekalkan, tetapi ia tetap berdepan jalan sukar untuk menjadikannya kenyataan.

Sementara UMNO mungkin sedia menerima jawatan tersebut, tetapi mereka, sekurang-kurangnya setakat ini, tetap enggan menerima kehadiran Geng Hamzah Zainuddin dan Geng Azmin Ali sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Dengan itu, tanpa laluan diberi oleh UMNO, di mana Geng Hamzah dan Geng Azmin mahu bertanding dalam PRU15 akan datang?

Selain Mahiadddin yang gagal sebagai halangan terbesar kerajaan PN ini sukar dipertahankan, kehadiran Geng Hanzah dan Geng Azmin adalah penyebab utama lainnya.

Sebab itu, menyedari mereka tidak dapat diterima oleh UMNO, Geng Hamzah dan Azmin dilihat akan sedaya upaya mahu memastikan Mahiaddin dapat bertahan lebih lama dan kemudian berdepan dalam PRU15 atas tiket PN dengan pertandingan tiga penjuru yang tidak lagi dapat dielakkan.

Harapan mereka ialah melalui jawatan, kedudukan dan kuasa dalam kerajaan yang masih dipegang ketika menghadapi PRU nanti, kemenangan masih ada ruang terbuka untuk dipertahankan.

Di sisi rakyat, sebagaimana tingginya keghairahan mereka sekarang untuk menjatuhkan kerajaan PN ini, kepuasan yang dirasai tentulah tak ternilai lagi jika ia berjaya dijadikan kenyataan.

Sifirnya sangat mudah, dengan tahap kegagalan paling maksium oleh kerajaan PN ini dan Mahiaddin pula dianggap Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah negara, setahun ditadbir dengan caca-marba mereka pun sudah tak terperi seksanya, siapa yang mahu disambung derita lagi oleh pemerintah yang sama untuk tempoh lima tahun seterusnya?

Kecundangnya Mahiaddin dengan rambutan adalah isyarat paling jelas tiada harapan lagi kerajaan PN ini dapat diselamatkan.

Selepas membaca artikel ini, mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tajuk lain tapi tulisan bermaksud lain?

Saya sebetulnya sedang cuba-cuba belajar menjadi Hadi Awang yang selalu ditanya lain, tapi memberi jawapan lain!!


 (ShahbudinHusin 23/05/2021)




No comments: