By
-
22 May 2021
Keadaan jalan utama di ibu kota kelihatan lengang pada hari
kedua perayaan Aidilfitri berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) 3.0 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN
FAUZI, 14 MEI 2021.
KUALA LUMPUR – Tiada jaminan penularan Covid-19 dapat dikekang
sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) diperketatkan.
Ia berdasarkan data yang menunjukkan kilang-kilang merupakan
penyumbang terbesar penularan jangkitan virus tersebut iaitu sebanyak 50
peratus.
Justeru itu Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata,
rakyat kecewa apabila kerajaan tidak melaksanakan PKP secara menyeluruh.
Jelas beliau, ini kerana rakyat rela untuk PKP menyeluruh
dilaksanakan dalam keadaan penularan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Dengan peningkatan kes Covid-19 yang kian parah, rakyat lebih
rela Total Lockdown untuk tempoh 14 hingga 21 hari berbanding
hadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan.
#BiarSusahSekaliBukanBerkalikali,” katanya menerusi laman Facebook.
Oleh itu, Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi meminta kerajaan
menilai semula keputusan tidak melaksanakan PKP secara sepenuhnya sebelum
keadaan menjadi lebih parah.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, tindakan kerajaan itu akan
memberikan persepsi bahawa tauke-tauke besar dan para kapitalis memaksimumkan
keuntungan dengan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka berbanding rakyat.
“Realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kompaun
kilang. Mereka tinggal dalam komuniti, berbeli belah di pasaraya sama dengan
masyarakat. Contoh di kawasan saya tinggal Petaling Jaya, pekerja kilang
tinggal di flat-flat, berbeli belah di Giant, Tesco, Bintang seperti orang
lain,” kata Asyraf lagi.
Ujar beliau, adalah lebih baik kerajaan mengutamakan usaha
menangani Covid-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan
mengenakan PKP ‘separuh masa’’ yang pada akhirnya akan menyukarkan usaha
memulihkan ekonomi untuk jangka panjang.
Semalam Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata,
kerajaan akan melaksanakan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial
yang sedang dilaksanakan di bawah PKP 3.0 untuk membendung penularan wabak
Covid-19.