Pal3stin: Pemuda PH serah memorandum ke kedutaan 4merika Syarikat

 

Pal3stin: Pemuda PH serah memorandum ke kedutaan 4merika Syarikat

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak agar republik itu memastikan gencatan senjata antara Israel dan Hamas dipatuhi.

Daripada rancangan awal untuk mengadakan himpunan bantahan, ia semalam bertukar kepada protes yang sepatutnya hanya dihadiri 10 orang wakil untuk menyerahkan memorandum bantahan – yang turut disiarkan secara langsung di saluran maya.

Namun ketika berkumpul di Jalan Tun Razak hari ini, kira-kira jam 3 petang, polis membenarkan hanya dua wakil sahaja menyerahkan memorandum di depan pintu masuk kedutaan AS.

Kedua-dua wakil itu merupakan Ketua Pemudah PH merangkap Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin, dan Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman.

Dalam memorandum bantahan itu, Pemuda PH menghargai usaha Presiden AS Joe Biden serta kerajaan Mesir dalam mencapai gencatan senjata itu, meskipun berpandangan ia sepatutnya berlaku lebih awal sebelum 200 rakyat Palestin terkorban, selain ribuan yang cedera.

Selain menyeru AS untuk memastikan Israel mematuhi gencatan senjata yang dicapai, Pemuda PH turut menggesa AS menyemak semula hubungan diplomatiknya dengan Israel dan menghentikan penjualan senjata api dan dana ketenteraan kepada Israel.

“Rekod menunjukkan, kerajaan AS memberi dana sebanyak AS$3.8 bilion setiap tahun kepada negara penjenayah Israel,” kata Shazni ketika membacakan memorandum itu kepada pemberita yang hadir, selepas penyerahan memorandum.

“Malah kami berdiri teguh bersama Resolusi yang dicadangkan di dalam Dewan Senat Amerika Syarikat oleh Senator Bernie Sanders bahawa Kerajaan Amerika Syarikat perlu menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak AS$735 Juta kepada Israel.

“[…] Kami mendesak agar kerajaan AS terutamanya Presiden Joe Biden membuktikan kepada rakyat Amerika dan juga kepada dunia ini, bahawa kepimpinannya sememangnya percaya dan mempertahankan hak asasi manusia dan bahawa semua nyawa itu penting tidak kira #BlackLivesMatter atau #PalestineLivesMatter,” tambahnya.

Menurut Shazni, gencatan senjata yang dicapai kali ini tidak harus dilihat sebagai penamat, sebaliknya hanya satu fasa dalam usaha panjang untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan Israel.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dipersetujui pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

Kabinet Keselamatan Israel dilaporkan meluluskan syor untuk menamatkan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung sejak 10 Mei dan bersetuju dengan gencatan senjata terhadap serangan yang mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita itu.

Disoal pemberita mengapa Pemuda PH mengadakan protes di hadapan di hadapan kedutaan AS meskipun Biden memandang positif gencatan senjata itu, kata Shazni, ia ekoran dasar AS terhadap Israel termasuk dana yang disalurkan republik itu kepada Israel.

“Kalau AS mahu mententeramkan Asia Barat (dengan) sejujurnya, kita mahu AS3.8 bilion dana yang disalurkan kini (ke Israel) dihentikan sebagaimana yang didesak juga oleh kebanyakan warga AS sendiri,” katanya.

Sekitar waktu sama dengan penghantaran memorandum itu, satu kumpulan konvoi berkenderaan dilihat melalui sepanjang Jalan Tun Razak sambil membawa bendera Palestin.

Kira-kira 15 kenderaan motokar dan beberapa motosikal dilihat mengibarkan bendera Palestin dan Malaysia, dan membunyikan hon, terutamanya apabila melalui kawasan berhampiran kedutaan AS.

Difahamkan, ia dianjurkan bukan oleh mana-mana NGO atau parti politik, tetapi inisiatif masyarakat yang menamakan diri mereka sebagai Pemuda Malaysia.  




No comments: