Petang semalam, ketika semua orang ternanti-nanti sama ada kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara atau MKN akan melaksanakan PKP penuh atau tidak, Menteri Kanan Pertahanan berkaitan keselamatan, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Pejabat Menteri (PMO) akan mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara tersebut.
Tetapi, menjelang malam, PMO dalam kenyataan media yang dikeluarkannya memberitahu, tiada PKP penuh akan dilaksanakan, sebaliknya keputusan yang diambil adalah mengetatkan beberapa sektor ekonomi dan sosial dalam PKP 3.0 separuh masak yang sedang berkuatkuasa sekarang.
Tambah kenyataan media PMO itu lagi, perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan hari ini (22 Mei) oleh Ismail Sabri.
Apa sudah jadi ni, kenapa tidak Mahiaddin Md Yasin sendiri yang mengumumkannya?
Jika dalam semua pengumuman PKP sebelum ini, malah proklamasi darurat pun, Mahiaddin sendiri yang tampil membuat pengumuman, sama ada melalui perutusan khas atau kenyataan media, kenapa tidak kali ini?
Kenapa tiada lagi perutusan khas seperti sebelum ini?
Kalau pun tiada perutusan khas, mengapa tidak PMO atau Mahiaddin sendiri mengeluarkan kenyataan media berkaitan perincian sekatan tambahan itu sebagaimana kenyataan media berkaitan PKP 3.0 separuh masak dua hari menjelang 1 Syawal sebelum ini?
Adakah Mahiaddin sekarang sudah koyak?
Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang amat memalukan telah ditunjukkan oleh seorang Perdana Menteri di waktu negara sedang menghadiri krisis dan di ketika semakin ramai rakyat yang mati akibat penularan Covid19.
Mahiaddin kini seperti panglima perang yang sudah hilang kekuatan dan keberanian untuk berdepan kenyataan dan tindakannya menyerahkan kepada Ismail Sabri membuat pengumuman ibarat menyerahkan senapang kepada orang lain untuk meneruskan peperangan.
Jika dengan beberapa orang yang bertemu dengannya, Mahiaddin selalu berbangga dengan pengalaman politiknya selama lebih 40 tahun dan kononnya beliau arif dalam banyak perkara, apa yang boleh beliau dibanggakannya sekarang dengan pengalaman tersebut?
Apakah menjadi penakut merupakan suatu nilai berharga yang dituai daripada pengalaman selama lebih 40 tahun itu?
Dalam suasana krisis seperti sekarang, adalah tidak wajar Mahiaddin bertindak lari daripada realiti dan menyerahkan kepada orang lain membuat sesuatu pengumuman yang lebih afdal beliau sendiri melakukannya.
Apakah Mahiaddin sekarang cuba memindahkan kemarahan rakyat terhadapnya untuk dipikul sama oleh UMNO juga?
Kenapa tidak serahkan sekali jawatan Perdana Menterinya?
Sehingga ini tidak jelas apakah perincian sekatan tambahan yang bakal diumumkan oleh Ismail Sabri, tetapi di merata tempat terlihat kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan Mahiaddin memang sedang membara sekarang ini.
Kegagalan melaksanakan PKP penuh – 14 hari, 21 hari atau sebulan – di ketika kes kian mencanak dan jumlah kematian terus meningkat adalah gambaran satu lagi kegagalan beliau dalam memimpin negara ini.
Mahiaddin dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh melindungi nyawa rakyat sementara proses vaksinasi pula amat perlahan prosesnya.
Sekarang, dengan hanya mengetatkan beberapa sektor ekonomi dan sosial, bukan saja tiada jaminan kes dan jumlah kematian akan tidak meningkat, bahkan tiada jaminan juga tidak ada lagi PKP 4.0, PKP 5.0 dan seterusnya yang juga separuh masak selepas ini.
Akhirnya apa jadi kepada nasib dan sengsara rakyat dalam meneruskan kehidupan?
Sebab itu, dengan tiadanya “total lockdown” ini, yang sebenarnya paling dikehendaki oleh rakyat ialah Mahiaddin segera “stepdown”.
Kalau berlawan dengan rambutan pun hanya dapat 4 peratus undi, beliau nak tunggu apa lagi?
(ShahbudinHusin 22/05/2021)