Reaksi berbeza selepas tiada ‘lockdown’ penuh


Majikan lega tiada ‘lockdown’ penuh kerana perniagaan mereka boleh terus beroperasi sehingga perintah kawalan pergerakan berakhir. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi bimbang dengan kekurangan strategi keluar daripada Covid-19, ketika majikan menarik nafas lega tiada “lockdown” ketat di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, keputusan itu yang diumumkan tadi melegakan komuniti perniagaan kerana mereka boleh meneruskan operasi.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sekatan lebih ketat akan dilaksanakan ke atas sektor ekonomi dan sosial, tetapi tiada “lockdown” penuh seperti yang dilakukan Mac 2020.

Perincian lanjut mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob esok.

Shamsuddin memberitahu FMT, komuniti perniagaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keputusan itu yang membolehkan operasi perniagaan diteruskan, tetapi dengan SOP lebih ketat.

“SOP lebih ketat tidak akan membunuh perniagaan kami, tetapi jika mereka memutuskan untuk menghentikan operasi, maka pemulihan perniagaan kami menjadi sukar.”

Tambahan, katanya, Jabatan Perangkaan turut memberi amaran bulan lalu yang kadar inflasi akan meningkat ke tahap tertinggi sejak 4.7% yang direkodkan pada 2018.

“Ia membimbangkan. Jika kita tidak berhati-hati, kadar inflasi akan menjadi lebih tinggi.”

Shamsuddin berkata, majikan di Selangor sudah menempah kira-kira sejuta vaksin untuk mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kluster tempat kerja, itu sebabkan sektor swasta segera memesan vaksin itu.”

Sesetengah syarikat dengan tenaga kerja lebih ramai turut menempah vaksin itu, walaupun kosnya mencecah RM380 seorang.

“Ini menunjukkan majikan bertanggungjawab dalam mengurangkan kluster tempat kerja.”

Ahli ekonomi, Carmelo Ferlito, bagaimanapun berkata kerajaan membuat pengumuman itu tanpa memberikan butiran.

“Mereka memutuskan sesuatu, tetapi membiarkan butiran untuk diumumkan esok, menyebabkan rakyat dalam ketidaktentuan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dengan lebih banyak butiran akan diumumkan esok, rakyat dan perniagaan mungkin mempunyai sedikit masa untuk menyesuaikan diri kepada sekatan baru pada Isnin, menyebabkan orang ramai lebih keliru dan kecewa.

Katanya, kerajaan nampaknya tidak mempunyai strategi keluar yang jelas untuk membendung Covid-19 menyebabkan “lockdown” demi “lockdown” dilaksanakan.

Malaysia sedang melalui PKP ketiga sejak 12 Mei lalu.

Katanya, kerajaan perlu merancang atau melabur untuk mengukuhkan kapasiti vaksinasi serta meningkatkan ujian saringan besar-besaran secara kerap.

“Kami tidak mengeluarkan lebih banyak data untuk penilaian semula, penyelidikan dan dasar disasarkan yang lebih baik.”

Kecuali langkah itu dilaksanakan, Ferlito berkata, negara membazir masa kerana tiada hasil baru akan diperolehi serta menyebabkan sektor perniagaan, kesihatan, pendidikan dan pengambilan pekerja terus terkesan.

“Kerajaan memerlukan strategi sebenar untuk keluar daripada keadaan ini. Mereka tidak boleh menyampaikan mesej tidak jelas yang tidak mempunyai penyelesaian cepat terhadap keadaan darurat sedia ada.”

Jumlah jangkitan harian melepasi 6,000 kes untuk hari ketiga berturut-turut pada Jumaat, dengan kadar kematian antara 40 hingga 50 kes setiap hari.





No comments: