Netizen bengang Pejabat Peguam Negara putuskan tiada tuduhan rentas negeri pada Neelofa beli karpet di Nilai 3
Tiada tuduhan rentas negeri dikenakan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail selepas kertas siasatan polis diteliti Pejabat Peguam Negara (AGC).
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan siasatan dan keterangan yang diperoleh berhubung kes tersebut.
“Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.
“Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada,” katanya dipetik BH Online.
Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau PU Riz dituduh di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ia susulan pasangan tersebut, dituduh gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera di kedai karpet yang dikunjungi mereka di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.
Muhammad Haris atau PU Riz, 26, juga menghadapi satu lagi tuduhan, iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Bagaimanapun, pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan serta dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Peguam mereka, Haresh Mahadevan menjelaskan kepada media semalam bahawa kedua-dua anak guamnya itu hadir atas tuduhan melanggar SOP PKPB dan tidak membabitkan isu rentas negeri atau sebagainya.
Kesemua tuduhan bermula selepas Neelofa berkongsi video dia dan suaminya tular berada di premis terbabit. Kandungan itu pada awal dikongsi oleh slebriti terbabit di Insta Story miliknya sebelum ia dipadam.